Rasuah berterusan selagi wujud pemberi, penerima

Iklan
LAM THYE

SHAH ALAM – Aktiviti rasuah tidak akan terhenti selagi wujudnya pemberi dan penerima rasuah.

Ahli Institut Integriti Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perang menentang rasuah tidak dapat dimenangi dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan usaha, komitmen serta kecenderungan yang berterusan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, gejala rasuah tidak dapat dibanteras sepenuhnya di mana-mana negara atau dalam masyarakatnya.

"Laporan terbaru menunjukkan Malaysia memperoleh penurunan enam mata dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) (2020) merupakan perkara serius dan tidak boleh dipandang remeh.

Iklan

"Sebaliknya, kita tidak boleh membiarkannya dan sentiasa berwaspada memerangi rasuah di mana sahaja dan bila-bila masa dan bagaimanapun ia berlaku.

"Sudah tentu, rasuah merupakan kesengsaraan yang memberi kesan buruk kepada rakyat dalam pelbagai cara,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Tambah Lam Thye, rasuah menyebabkan berlakunya pembaziran, pengalihan sumber daya dari yang memerlukan selain hilangnya kepercayaan kepada pihak berwajib.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus diberi pujian atas tindakan pantasnya jika terdapat bukti amalan rasuah melibatkan sektor swasta dan awam.

"Ia telah berjaya mendapatkan sabitan dalam sejumlah kes berprofil tinggi,” katanya.

Beliau berkata, usaha bersepadu termasuk penguatkuasaan undang-undang sedia ada selain pendidikan pencegahan perlu dilaksanakan untuk meminimumkan aktiviti rasuah.

"Setiap hari, beratus-ratus kes tidak dilaporkan walaupun pemberi maklumat diberi perlindungan di bawah Akta Pemberi Maklumat 2010.

"Memerangi rasuah adalah tugas semua orang. Ia akan membawa padah sekiranya kita mengabaikannya.

"Oleh itu, masyarakat perlu dididik mengenai perlunya beretika, menjaga integriti dan membenci rasuah bermula di sekolah. Minda golongan muda perlu ditekankan dengan integriti dan tanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Lam Thye memuji usaha Sinar Harian melaksanakan kempen Rasuah Busters sebagai langkah memerangi rasuah di negara ini.

"Kita perlu menyokong kempen #RasuahBusters sebagai suatu gerakan oleh rakyat demi rakyat untuk menghapuskan budaya memberi dan menerima rasuah serta sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa di dalam ekosistem di negara ini.

"RasuahBuster membentuk kebangkitan rakyat agar menentang pandemik rasuah yang merosakkan rakyat dan negara. Kempen ini juga membawa nilai integriti yang melahirkan moral dan karakter bangsa yang bertamadun serta berjaya,” katanya.