TEMERLOH - Pengusaha Restoran Sifu Station mengambil inisiatif menjual makanan dengan harga serendah RM3 sebungkus yang terdiri daripada nasi dan masing-masing satu jenis sayur serta lauk bersama sambal dalam usaha meneruskan perniagaan selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Normazlifah Abd Malik,42 berkata, set menu digelar Nasi Bajet PKP itu dijual sebagai salah satu strategi mempertahankan perniagaan makanan yang diusahakannya sejak tahun 2007 itu yang mengalami kemerosotan pendapatan sejak PKP.
"Pernah hanya dapat hasil jualan sebanyak RM30 sehari lalu saya terpaksa 'merehatkan' empat pekerja akibat tidak mampu membayar gaji mereka.
"Jadi, saya jual set makanan dengan harga RM3. Saya akui walaupun keuntungannya tidak sebesar mana tetapi ia membantu saya bertahan dalam mencari rezeki untuk keluarga," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, pelbagai lauk-pauk dijual seperti ikan dan ayam goreng; ayam masak merah; kari ayam serta sayur-sayuran yang boleh dipilih oleh pelanggan.
Menurut Normazlifah, setakat ini sambutan terhadap Nasi Bajet PKP begitu memberangsangkan malah pernah menerima tempahan ratusan bungkus daripada pihak yang prihatin untuk tujuan derma.
"Saya juga menyediakan perkhidmatan untuk tempahan. Syukur, sekarang saya sudah boleh panggil semula pekerja sebelum ini," katanya.
Kata Normazlifah, dia akan terus menjual set Nasi Bajet PKP walaupun tempoh PKP berakhir nanti sebagai kenangan dalam sejarah perniagaannya sekali gus menjadi penyelamat sumber rezeki dia dan keluarga.