BALING- Masalah bekalan air bersih di beberapa kawasan di daerah Baling berlarutan sejak sekian lama dan menjadi lebih teruk ketika musim kemarau.
Penduduk Kampung Charuk Bunting, Yusof Ibrahim, 75, mendakwa, hampir kebanyakan penduduk dengan melibatkan 160 buah rumah di kampung tersebut menggunakan sumber air masyarakat yang dialirkan secara terus melalui kolam takungan ke rumah pengguna.
Menurutnya, semasa bekalan air paip Syarikat Air Darul Aman (SADA) terputus, penduduk kampung mengharapkan air masyarakat untuk keperluan harian.
"Kejap ada, kejap tiada. Minggu ini langsung tidak ada bekalan air paip. Jadi, penduduk memang bergantung harap kepada air masyarakat sepenuhnya yang dibayar RM20 setahun bagi tujuan penyelenggaraan berbanding air SADA sebanyak RM6 sebulan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Di Kampung Weng Luar, pengusaha kedai makan, Abu Bakar Baharom mendakwa, bekalan air SADA terganggu sejak 10 tahun lalu.
Dakwanya, masalah itu menyebabkan dia sentiasa mencari alternatif dengan menggunakan air masyarakat atau sumber telaga bagi memastikan perniagaannya tidak terganggu.
"Baru-baru ini, air masyarakat pun kering akibat kemarau, jadi saya minta jasa SADA hantar bekalan air,” katanya.
Kata Abu Bakar, sebagai inisiatif, dia menyediakan tangki khas untuk menakung air dari sumber bekalan yang dihantar SADA.
"Saya terpaksa memikirkan pelbagai sumber air kerana bimbang sekiranya bekalan terputus, perniagaan terganggu,” katanya.
Bagi penduduk Kampung Bukit Sebelah, Badruldin Ibrahim, 48, dia menghabiskan ribuan ringgit untuk menyediakan tangki simpanan bekalan air SADA dan membuat penyambungan paip bagi mendapatkan sumber air masyarakat.
"Bagaimanapun, kedua-dua sumber ini kering akibat kemarau. Kami merayu sangat kepada pihak kerajaan supaya menaik taraf sistem kemudahan asas kepada penduduk terjejas kerana masalah air di sini telah berlarutan sejak berpuluh tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bekalan Air Masyarakat Kampung Weng dan Charuk Semeliang, Mohd Azemi Ghazali mendakwa, penduduk dari 300 buah rumah kini berdepan masalah air yang serius.
"Air SADA pun tiada, air masyarakat pun susut. Tahun lepas ketika kemarau teruk, penduduk di kedua-dua kampung ini hanya mengharapkan sumber air sungai sepenuhnya. Ada penduduk mengangkut air sungai untuk dibawa balik.
"Sekiranya keadaan terdesak, ada cadangan supaya menyalurkan air sungai ke rumah penduduk memandangkan bekalan air SADA dan air masyarakat terjejas teruk,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Persatuan Kebajikan Penduduk Baling, Mohd Nazry Md Bidin berkata, isu sama pernah dibangkitkan sebelum ini dan mengharapkan kerajaan memberi perhatian serius terhadap aduan isu air sekali gus menaik taraf kemudahan asas itu.
Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan reaksi pihak berkaitan berhubung isu ini.