SHAH ALAM – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyatakan parti itu tidak akan menjadi sebatang kara sekalipun tanpa Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, mana-mana pihak sama ada rakan atau lawan mengakui UMNO masih lagi releven dan ia tidak boleh dipertikaikan.
"Malah, mengapa kita menyifatkan adakah tanpa PN atau mana-mana parti yang lain, UMNO sebatang kara. Kenapa kita tidak ajukan soalan berbeza tanpa UMNO, adakah parti lain mampu menguasai kerajaan.
"Tanpa UMNO, adakah mana-mana pakatan baharu yang nak diwujudkan boleh berdiri seperti mana berdiri hari ini?” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-232 bertajuk ‘Tanpa PN, UMNO Sebatang Kara?’ yang disiarkan menerusi atas talian di Studio Sinar Harian pada Selasa.
Wacana itu turut menampilkan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dan penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian sebagai panelis, manakala Edlynna Hanie Hamid bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Shahril berkata, bukan parti itu mahu angkuh tetapi terdapat situasi dan fakta tertentu ada beberapa perkara ahli UMNO tidak boleh berkompromi.
"Kekuatan asas kami boleh menjadi batu loncatan kepada kekuatan UMNO yang lebih moden dan baharu,” katanya.
Shahril turut melihat pakatan antara parti-parti politik pada masa kini tidak stabil dan rapuh berbanding seperti dahulu.
"Kita ambil contoh Pakatan Harapan (PH). Dahulunya PH ini kita kenal ahlinya kemudian Bersatu tinggalkan PH yang menyebabkan kejatuhannya. Dulu Tun Dr Mahathir Mohamad bersama PH, hari ini tidak lagi,” katanya.
Menurutnya, dalam keadan di mana pakatan politik tidak stabil dan rapuh, adalah amat penting bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) memastikan bahawa mereka mempunyai daya tarikan yang bebas daipada mana-mana pakatan politik.
"Kita nak ada daya tarikan yang bebas, maka jatuh bangun UMNO dan BN tidak akan terikat pada mana-mana pakatan ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, Shahril turut mengakui bahawa UMNO dilihat seperti dianaktirikan dalam kerajaan PN.
"Ada beberapa keputusan besar negara yang mana keputusan itu diambil dan dibuat setahu saya tanpa rundingan serta pemakluman kepada UMNO. Saya ingat penonton boleh teka keputusan besar apa,” katanya.
Katanya, selain daripada itu, kenyataan daripada ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang menggesa agar akaun bank rahsia UMNO disiasat baru-baru ini ini juga dilihat tidak sesuai.
"Janganlah keluarkan kenyataan begitu. Kalau betul kawan dalam kerajaan, tidak perlu keluar kenyataan begitu,” katanya.