Wan Saiful nafi PN anak tirikan UMNO

Iklan
Wan Saiful ketika memberikan pandangan dalam program Wacana Sinar Harian Edisi ke-232 bertajuk ‘Tanpa PN, UMNO sebatang kara?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menafikan tuduhan yang mengatakan bahawa terdapat cubaan untuk menganaktirikan UMNO dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, dengan mengambil kira pembahagian tugasan, tanggungjawab dan amanah yang dilakukan baik di peringkat persekutuan mahupun negeri, apa yang dilakukan oleh PN adalah sesuatu yang adil.

Iklan
Iklan

"Kalau dilihat dalam soal pemabahgian tanggunjawab, tugasan dan amanah yang dipegang dalam negara dan di peringkat negeri, semuanya dapat dengan cara yang boleh dikatakan agak adil.

"Kita kena faham ia dibuat berdasarkan kepada yang pertama iaitu hak prerogatif Perdana Menteri dan keduanya ia juga mengambil kira bilangan ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika memberikan pandangan dalam program Wacana Sinar Harian Edisi ke-232 bertajuk ‘Tanpa PN, UMNO sebatang kara?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Wacana turut menampilkan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian sebagai panelis, manakala Edlynna Hanie Hamid bertindak sebagai moderator.

Iklan

Wan Saiful berkata, dalam soal pembahagian tugasan itu, PN juga perlu mengambil kira faktor prestasi yang ditunjukkan oleh UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ini yang mana parti tersebut telah mengalami kekalahan.

"Jadi saya rasa tuduhan yang UMNO itu dianaktirikan adalah tidak betul kerana kita kena faham apa yang berlaku di dalam parti tersebut ketika ini.

"Kita kena ingat bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah buat pertama kali dalam PRU14 dan punca kekalahan tersebut bukanlah kerana parti komponen lain tetapi ada beberapa isu yang harus dipertanggungjawabkan kepada UMNO.

"Dengan mengambil kira fakta itu, pembahagian amanah yang diberikan adalah dilakukan secara adil kerana PN telah memberikan peluang untuk UMNO kembali berada dalam tampuk kuasa,” katanya.

Edlynna Hanie bersama panel, Wan Saiful dan Shahril Sufian membincangkan tajuk 'Tanpa PN, UMNO Sebatang Kara?' pada Wacana Sinar Edisi ke-232 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Jelas Wan Saiful, layanan dan hubungan yang dibina oleh PN bersama UMNO juga disifatkan beliau sebagai sesuatu yang istimewa jika mengambil reaksi yang ditunjukkan parti kerajaan terhadap kritikan dan teguran terbuka yang dibuat oleh UMNO.

Pada masa sama, beliau mengakui bahawa kestabilan politik negara ketika ini bergantung kepada kesatuan yang dapat dicapai oleh tiga parti utama berteraskan Melayu iaitu Bersatu, UMNO dan Pas.

"Sebab itu saya konsisten mengatakan bahawa kestabilan itu hanya boleh diwujudkan sekiranya ketiga parti ini duduk sekali. Apa-apa benda pun yang menyebabkan kita tak boleh duduk sekali dan berpecah patutnya kita letak ketepi buat sementara waktu

"Kita perlu bincangkan secara dalaman berkenaan apa-apa isu yang timbul kerana jika tidak ia akan menyebabkan bukan sahaja ahli UMNO, tetapi kami di Bersatu pun akan turut tergores hati dengan apa-apa kenyataan terbuka yang dibuat

"Harapan saya juga adalah agar kita dapat duduk berbincang mengenai agenda yang boleh disepakati dan pada waktu yang sama melaksanakan agenda tersebut,” katanya.