IPOH - Pasangan pengantin tidak menyangka gambar ‘makan beradap’ di sebuah restoran makanan segera mendapat perhatian hingga tular di media sosial.
Gelagat pasangan Hazrin Amree Mazlan, 26, dan isterinya, Nur Dyana Amirah Hairil Asniza, 25, berbusana putih lengkap dengan mahkota sambil menikmati hidangan ayam goreng mula dikongsi di laman Facebook sejak Ahad.
Menurut Nur Dyana, gambar mereka diambil oleh jurufoto selepas selesai majlis akad nikah di Pejabat Pentadbiran Agama Islam Seri Iskandar, Parit pada Khamis lalu.
"Majlis selesai sekitar jam 3 petang, kami ingin membawa keluarga makan tetapi kebanyakan restoran ketika itu masih tutup.
"Secara spontan, kami terus bawa ke restoran berkenaan kerana lebih selesa. Ketika itulah jurugambar merakam gambar ‘makan beradap’ tambahan pelanggan tidak ramai ketika itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.
Menurutnya, gambar itu menjadi momen berharga sebagai pengantin baharu.
"Lagipun ia dapat mengubati sedikit kekecewaan kami kerana tiada gambar ketika akad nikah selepas jurugambar tidak dibenarkan masuk.
"Sebaik sahaja jurugambar memuat naik gambar itu di Facebook, saya menerima mesej bertalu-talu daripada rakan-rakan, saudara-mara dan warganet yang mengucap tahniah. Tidak sangka sekejap sudah tular,” katanya.
Kedua mempelai yang bekerja di sebuah institusi kewangan di Kuala Lumpur itu bertunang selama enam bulan sebelum diijab kabul pada Khamis lalu.