AS lulus jualan senjata hampir RM1 bilion kepada Mesir

Iklan
Gambar fail menunjukkan sebuah peluru berpandu taktikal Rolling Airframe Missile dilancarkan dari sebuah kapal perang Amerika Syarikat dalam satu latihan tentera. - Foto Tentera Laut Amerika Syarikat.

WASHINGTON - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Selasa meluluskan jualan senjata bernilai hampir AS$200 juta (RM808.10 juta) kepada Mesir tetapi berikrar akan menekankan tentang isu-isu hak asasi di negara itu.

Penekanan tentang isu-isu hak asasi manusia itu dibuat selepas seorang aktivis AS membuat laporan mengenai sebuah keluarga telah diganggu oleh pihak berkuasa di Mesir.

Iklan
Iklan

Pentadbiran Biden yang berikrar akan menamatkan sokongan ke atas operasi serangan Arab Saudi di Yemen dalam perang saudara di negara tersebut berkata, Washington meluluskan jualan 168 peluru berpandu taktikal kepada Mesir.

Jualan peluru berpandu ringan dari permukaan ke udara buatan syarikat Raytheon yang dikenali sebagai Rolling Airframe Missile bernilai AS$197 juta (RM795.98 juta) itu telah ditempah sebelum ini oleh tentera laut Mesir bagi memperbaiki lagi tahap pertahanan di kawasan pantai dan sekitar Laut Merah.

Iklan

Jabatan Negara AS berkata dalam satu kenyataan bahawa ia meluluskan jualan itu setelah kajian semula dilakukan oleh pihak Kongres AS.

Ia adalah disebabkan Mesir menjadi rakan strategik AS di Asia Barat.

Iklan

Dalam pada itu, seorang peguam bela untuk seorang aktivis hak asasi manusia warga AS, Mohamed Soltan mendakwa beberapa pegawai pihak berkuasa Mesir menyerbu sebuah rumah yang didiami oleh enam anggota keluarga pada Ahad lalu dan menahan dua sepupunya.

Dia yang kini tinggal di AS sebelum ini telah memfailkan satu tuntutan undang-undang yang menuduh berlakunya penderaan ketika berada dalam tahanan Mesir hampir dua tahun.

Menurut AFP, Jurucakap Jabatan Negara, Ned Price berkata:"Kami mengambil serius semua tuduhan tentang penangkapan (yang dilakukan) secara sewenang-wenangnya."

Soltan yang merupakan anak kepada seorang anggota pertubuhan Ikhwanul Muslimin yang kini diharamkan pernah ditahan pada Ogos 2013 dalam satu operasi ketenteraan bagi menyingkirkan Presiden Mesir, Mohamed Morsi selepas beliau dipilih memegang jawatan itu menerusi satu pilihan raya. - Agensi