Dunia tiba-tiba dikejutkan dengan pandemik Covid-19. Kemunculan pada Februari tahun lalu telah mengubah hampir keseluruhan gaya hidup manusia bukan hanya di Malaysia bahkan di seluruh dunia.
Perubahan semasa yang melangkaui zaman ke zaman telah mempengaruhi ekosistem kehidupan manusia dengan putaran hingga 180 darjah.
Perubahan ini memerlukan negara mengubah ekosistem penggunaan teknologi digitalnya bagi menampan impak Covid-19 untuk mengubah semula operasi semua sektor terutamanya ekonomi daripada kaedah tradisional kepada pendekatan digital dan pusatan pengguna.
Hari ini, pendigitalan menyentuh setiap bahagian kehidupan kita yang mempengaruhi cara manusia bekerja, berbelanja, melancong, mendidik, mengurus dan menjalani kehidupan.
Situasi ini sama ada suka atau tidak atau dalam keadaan sukar sekali pun, teknologi digital perlu berada dalam kehidupan seharian kita hampir secara total!
Ia selaras dengan hasrat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang menetapkan misi penting untuk menjadikan negara sebagai peneraju yang menerajui ekonomi digital menerusi naratif Malaysia 5.0.
Perubahan ke arah ekonomi digital ini bakal memberi manfaat khasnya kepada rakyat, sektor perniagaan dan kerajaan secara umumnya.
Norma baharu
Tidak dinafikan, membeli-belah secara fizikal lebih menyeronokkan tetapi banyak kelebihan yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia jika berbelanja menerusi dalam talian apatah lagi ketika wabak belum berakhir.
Kini, tingkah laku pengguna ketika berbelanja juga telah berubah dan dimanfaatkan hampir sepenuhnya di platform e-dagang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain dapat memutuskan rantaian Covid-19, kita dapat menjimatkan masa dan tidak perlu beratur untuk melalui Standard Operating Procedure (SOP) di kedai-kedai atau pusat membeli-belah.
Lebih menarik lagi, kita tidak perlu berada di luar untuk mendapatkan barangan yang dihajati kerana apa yang dipesan akan dihantar hingga ke muka pintu!
Selain boleh menilai produk menerusi maklumat yang dibekalkan, pembelian secara digital juga memberi manfaat dari sudut harga produk yang ditawarkan.
Biasanya harga akan lebih kompetitif dan pengguna lebih mudah membandingkan harga untuk setiap produk yang sama tetapi daripada jenama dan pengeluar yang berbeza.
Pada masa ini, kaedah pembayaran yang ditawarkan dalam pembelian dalam talian semakin bervariasi dan terjamin sekali gus mengelakkan kitaa daripada berurusan dengan mereka yang berkemungkinan dijangkiti dan positif.
Peniaga bangkit
Norma baharu konsep membeli-belah ini secara tidak langsung telah mendorong perniagaan dari seluruh industri untuk memacu kehadiran digital dalam perusahaan mereka.
Golongan peniaga bangkit dan mula beroperasi secara dalam talian. Amalan transformasi digital kini digunakan hampir sepenuhnya dalam konteks perniagaan.
Pada awal PKP Mac tahun lalu, ekonomi merudum dan banyak syarikat gulung tikar hingga menyebabkan ramai yang hilang pekerjaan.
Perniagaan dalam bentuk fizikal pada ketika itu boleh diibaratkan sebagai 'mati' walaupun negara tidak mengenakan perintah darurat secara ekstrem.
Apabila banyak perusahaan dan syarikat melakukan transformasi digital, maka dapat menghadirkan pengalaman baru buat para pelanggan yang tentunya menjadi aspek penting untuk ekonomi tumbuh semula dan berkembang.
Prestasi ini sekali gus membuktikan ekonomi digital hari ini sangat mengagumkan, berkembang hebat dan pantas.
Banyak usahawan dalam talian yang dimonopoli golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mula menikmati hasil peningkatan jualan masing-masing selepas kerugian hingga 80 peratus.
Rata-ratanya berpuas hati kerana usaha mempromosikan produk tanpa henti menggunakan medium dalam talian akhirnya membuahkan hasil walaupun pada mulanya ramai yang tidak yakin perniagaan mereka mampu bertahan akibat PKP.
Kejayaan tersebut secara tidak langsung telah menggalakkan lebih ramai peniaga bertukar daripada kaedah konvensional kepada secara dalam talian.
Hasilnya bukan sahaja menguntungkan peniaga malah turut memberi manfaat kepada orang ramai, terutamanya mereka yang menawarkan perkhidmatan penghantaran.
Ia juga mampu mengembalikan peluang pekerjaan kerana syarikat tidak perlu membuang pekerja atau mereka yang terjejas boleh memulakan kehidupan dengan memulakan perniagaan atas talian.
Pelancaran MyDIGITAL
Ekonomi digital ialah ekonomi yang berasaskan teknologi digital. Ekonomi Thomas Mesenbourg menjelaskan, terdapat tiga komponen utama yang dikenalpasti dapat mendirikan konsep ekonomi digital:
* Infrastruktur e-perniagaan (perkakasan, perisian, rangkaian dan sebagainya).
* e-perniagaan (bagaimana perniagaan tersebut dijalankan melalui rangkaian berbantukan komputer).
* e-dagangan (peralihan atau pengangkutan bahan yang sedang dijual beli).
Tidak dinafikan bahawa kemajuan teknologi menawarkan alternatif-alternatif baru dalam model interaksi sama ada antara individu mahupun masyarakat, termasuk dalam hubungan aktiviti ekonomi dan perdagangan.
Dalam perkembangan dunia yang semakin pesat, teknologi baharu turut muncul dan membangun. Ekonomi digital juga mempunyai kaitan rapat dengan konsep masyarakat tanpa tunai (cashless society) iaitu salah satu daripada teknologi baharu yang muncul.
Teknologi dan digital adalah tentang masa hadapan kita dalam dunia yang pantas berubah. Kita perlu bersiap sedia untuk meneroka serta merebut lebih banyak peluang menerusi platform digital.
Bagi merangsang pengguna dan industri berkaitan ekonomi digital, saksikan pelancaran MyDigital yang dipancarkan secara langsung pada Jumaat, 19 Februari ini pada jam 9 pagi di www.epu.gov.my.
Usaha kerajaan tingkatkan kemampuan digital ketika pandemik:
* Internet 1GB percuma setiap hari untuk menyokong aktiviti e-pembelajaran dan produktiviti.
* Memanfaatkan AI dan Big Data dalam menguruskan penyebaran Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.
* Platform agregator pekerjaan digital sebagai peluang kerjaya digital dengan bakat berpotensi yang dikenali sebagai #MyDigitalWorkforce.
* Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) melalui Google Microsoft dan Apple.
* Proses berteknologi untuk mempercepatkan urusan seperti contoh, aplikasi perjalanan dan e-dompet.