SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) menafikan pihaknya ada melantik mana-mana individu atau organisasi mewakili agensi itu bagi permohonan pinjaman wang.
LZS menerusi satu kenyataan memaklumkan tersebar satu mesej di media sosial berhubung permohonan pinjaman wang menggunakan logo agensi tersebut.
"Kami telah menerima mesej ini yang berlegar berkenaan permohonan pinjaman menggunakan logo Lembaga Zakat Selangor.
"Kami menafikan melantik mana-mana individu atau organisasi untuk mewakili LZS bagi permohonan seperti ini,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
LZS dalam pada itu memaklumkan semua permohonan hendaklah melalui amil kariah yang sah dilantik atau mana-mana cawangan LZS.
"LZS tidak akan bertanggungjawab terhadap mana-mana maklumat peribadi yang didedahkan kepada pihak tersebut.
"Kami ingin menyeru kepada semua terutama asnaf LZS agar berhati-hati dengan skim-skim pinjaman sebegini,” katanya.
LZS juga memaklumkan tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kerugian dan kesulitan yang ditanggung peminjam.