PETALING - Ibu dan bayi berusia 8 bulan yang sebelum ini dilaporkan tinggal di rumah usang sehingga tular kisahnya di media sosial telah dipindahkan ke rumah sewa baharu di bawah pembiayaan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
LZS dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, dua beranak itu turut menerima Bantuan Kewangan Bulanan sebanyak RM300 dan Bantuan Makanan Bulanan.
"Insya-ALLAH, Alwani akan memulakan kehidupan baharu di sini bersama bayinya yang akan dihantar ke pengasuh setelah dia mendapat pekerjaan pada masa depan.
"Kami berdoa agar segala urusannya dipermudahkan dan dimurahkan rezeki. Semoga ALLAH SWT memberikan kesabaran dan ketabahan kepadanya untuk mengharungi kehidupan baharu sebagai seorang ibu tunggal,” katanya pada Selasa.
Kisah wanita dikenali sebagai Alwani itu tular apabila suami serta anaknya berusia 4 tahun dilaporkan tidak pulang ke rumah dipercayai hanyut ketika menjala ikan di sungai berhampiran.
Susulan itu, wanita berkenaan bersama bayinya terpaksa tinggal di rumah usang tanpa bekalan air.
Sehingga kini, suami Alwani dan anak berumur 4 tahun dilaporkan masih tidak pulang ke rumah.
Laporan telah dibuat kepada pihak berkuasa namun kedua-dua bapa dan anak itu masih belum dijumpai.
LZS dalam satu hantaran di Facebook pada 18 Januari lalu memaklumkan, Alwani bersama bayinya itu tinggal di sebuah rumah usang ketika pihaknya bersama wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor menyantuni keluarga tersebut.
"Kami mendapat maklumat daripada Uncle Kentang berkenaan seorang ibu yang tinggal bersama bayinya di sebuah rumah usang.
"Kami berdoa agar suami dan anaknya selamat pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.