Pelabur Jepun kembali yakin untuk melabur di Malaysia: Guang Eng

Iklan

BUTTERWORTH - Pelabur Jepun kini kembali yakin untuk melabur di Malaysia berikutan kedudukan ekonomi negara yang semakin mengukuh dan memberangsangkan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, beliau yang mengetuai siri jelajah Kementerian Kewangan ke Jepun selama tiga hari bermula 6 Februari lalu mendapati antara faktor keyakinan itu adalah berdasarkan kemampuan Malaysia menangani isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Iklan
Iklan

"Saya baru balik dari Jepun dan menemui pelabur di sana. Mereka (kini) yakin dengan ekonomi Malaysia dan mahu kembali (melabur) di Malaysia. Sebelum ini mereka tidak berani untuk berbuat demikian kerana bimbangkan skandal 1MDB.

"Namun, selepas melihat adanya tindakan diambil terhadap skandal 1MDB, mereka kini yakin untuk kembali ke Malaysia," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri acara menggaul yee sang sepanjang 209.7 meter sempena hari ketujuh sambutanTahun Baru Cina di Tokong Tow Boo Kong di sini, malam ini.

Menurutnya, Malaysia juga pada masa sama turut mengharapkan pelaburan negara-negara lain termasuk China yang merupakan penyumbang pelaburan terbesar negara sebanyak 32 peratus.

Iklan

Selain itu, beliau juga optimis pembangunan ekonomi negara dijangka lebih cerah pada tahun ini berdasarkan indeks pengeluaran industri yang meningkat sebanyak 3.1 peratus pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

"Ini adalah satu petunjuk yang menggalakkan. Ini berikutan pengumuman bahawa (nilai) eksport tahun ini mencatat rekod iaitu hampir RM1 trilion dan lebihan dagangan turut naik 22 peratus kepada RM120 bilion daripada RM98 bilion.

"Kadar inflasi juga yang paling rendah dalam tempoh sembilan tahun iaitu hanya satu peratus. Kesemua ini adalah petunjuk baik dan kita yakin perkembangan ekonomi tahun ini boleh menjadi lebih cerah," katanya.

Selain itu, mengulas amaran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kepada kerajaan-kerajaan untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya 'ribut' ekonomi global, Lim berkata Malaysia adalah antara negara yang akan meraih manfaat dalam jangka pendek berikutan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Ini berikutan kedua-dua negara terbabit mahu mencari negara ketiga yang mempunyai lokasi pelaburan ‘neutral’ atau berkecuali.

"Dalam jangka pendek, ini akan memberi manfaat kepada kita namun keadaan berbeza bagi jangka panjang.

"Oleh itu, kita berharap ia (isu pertikaian perdagangan) dapat ditangani segera. Kita juga harus bersedia terhadap sebarang ‘ribut’ ekonomi namun pada masa sama perlu merebut peluang yang ada,” katanya. - Bernama