FAMA bantu atasi masalah lambakan nanas morris Johor

Iklan
Ghazale (tengah) menunjukkan nanas morris Johor yang dipasarkan di pasar tani Jasin pada Rabu.

MELAKA - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memasarkan nanas morris Johor pada harga RM1 sebiji bagi membantu petani mengatasi masalah lambakan buah berkenaan.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Ghazale Muhammad berkata, nanas morris Johor itu dijual pada harga promosi sehingga masalah lambakan bekalan selesai.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia akan dipasarkan menerusi medium pasar tani termasuk Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar Rakyat dan gerai buah-buahan segar.

Katanya, sehingga 15 Februari lalu, FAMA Johor telah membeli 118.17 metrik tan nanas morris bernilai RM60,207 dan kuantiti pembelian dijangka akan ditingkatkan sehingga 31 metrik tan melibatkan kos sebanyak RM31,000.

Iklan

"Inisiatif ini susulan isu tular di laman media sosial mengenai lambakan nanas morris disebabkan pembatalan pembelian antara pihak pemborong dengan pekebun mengikut jadual pengeluaran ditetapkan sebelum ini.

"Jadi FAMA Melaka tidak ketinggalan bersama-sama membantu memasarkan nanas morris di 17 lokasi Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar Rakyat (3), kedai buah-buahan (12) dan pasar tani (12)," katanya.

Iklan

Ghazale berkata demikian pada sidang akhbar Program Promosi Nanas Morris Johor di pasar tani Jasin di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah FAMA negeri, Mohd Azraie Ramli.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan kisah pekebun nanas di Johor yang terpaksa menjual hasil tanaman mereka pada harga RM1 sebiji bagi mengelakkan kerugian dan lambakan buah ekoran kekurangan permintaan.

Pekebun nanas, Ismail Basiran, 57, berkata, dia berdepan kerugian selepas 5,000 buah nanas morris dan josapine menjadi busuk kerana lewat dipetik sejak seminggu lalu.

Dalam pada itu, Ghazale berkata, FAMA juga bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi mengambil langkah proaktif untuk menawarkan inisiatif bantuan pasaran kepada pekebun terjejas menerusi pembelian bekalan bersama kilang pengetinan.

Malah katanya, FAMA akan terus memperhebatkan kempen dan melakukan demonstrasi seperti masakan dan jualan produk berasaskan nanas morris selain mengadakan pengaturan pasaran dengan pemborong buah-buahan tempatan, usahawan industri kecil sederhana (IKS) dan Industri Asas Tani (IAT) bagi penyediaan kuih raya serta biskut raya.

"Setakat ini, FAMA Melaka berjaya memasarkan 6,000 biji morris yang diterima dari FAMA Johor dan kita akan terus membantu agar tiada lagi lambakan nanas yang boleh merugikan petani," katanya.