Penutupan laluan Sungai Choh-Rawang undang masalah

Iklan
Urusan pengurusan jenazah penduduk di sini berdepan kesukaran selepas laluan terlibat ditutup. - Foto Ihsan FB Mat Nadzari

HULU SELANGOR - Penutupan sepenuhnya laluan sempadan kawasan Sungai Choh-Rawang sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini telah mengundang kesukaran buat penduduk setempat.

Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan berharap agar pihak berwajib dapat memberi pertimbangan membuka akses laluan berkenaan untuk sebarang urusan kecemasan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya sering mendapat rungutan penduduk setempat yang berdepan kesukaran dalam melaksanakan urusan fardu kifayah susulan penutupan sepenuhnya laluan itu sejak pelaksanaan PKP.

"Janganlah tutup sepenuh laluan itu untuk kes-kes kecemasan dan pihak berwajib tolonglah guna kebijaksanaan untuk selesaikan perkara ini.

Iklan

"Protokol dan fardu kifayah kena selari," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mat Nadzari berkata, sejak laluan itu ditutup, proses pengurusan jenazah berdepan kesukaran berikutan penduduk terpaksa menggunakan Jalan Pintas Rawang-Serendah (Rawang Bypass) yang jaraknya lebih jauh untuk ke Tanah Perkuburan Sungai Choh yang terletak di kawasan Rawang.

Iklan

Beliau berkata, selain itu, beberapa urusan kecemasan lain melibatkan penduduk setempat turut berdepan kesulitan susulan daripada penutupan laluan itu sepenuhnya.

"Kenapa mesti 'double standard' dan isu ini tidak seharusnya dipandang enteng oleh pihak berwajib dalam mencari penyelesaian terbaik," katanya.

Dalam pada itu, Mat Nadzari yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali turut mencadangkan agar laluan khas diwujudkan di situ dengan kelonggaran diberikan kepada kenderaan kecemasan.

"Kalau di sekatan jalan raya boleh ada laluan khas, di sini juga buat begitu dengan kelonggaran diberikan kepada kenderaan kecemasan sahaja.

"Janganlah terus halang dengan batu, mungkin pihak terlibat boleh buat pagar dan biar kenderaan kecemasan sahaja untuk melepasinya," katanya.