PASIR MAS - Luluh hati seorang wanita apabila melihat rumah dan kereta Perodua MyVi miliknya yang digunakan sejak lima tahun lalu lenyap di depan mata selepas tebing Sungai Kelantan runtuh di Kampung Pohon Chelagi di sini pada Rabu.
Nor Ain Ramli, 33, berkata, semua itu berlaku dengan pantas tanpa sempat dia dan suami serta anaknya berbuat apa-apa.
"Pada Selasa, kami sudah melihat ada rekahan tanah berlaku dan membuat aduan kepada pihak yang terlibat.
"Namun pihak berkenaan memberitahu, ia tidak teruk dan pada malamnya ramai pihak berkuasa datang membuat tinjauan di lokasi kejadian," katanya.
Menurutnya, sehinggalah sekitar jam 5.30 pagi, mereka dikejutkan dengan bunyi gegaran yang kuat sehingga menggoncang rumah.
Dia berkata, mereka sekeluarga terpaksa menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu belakang kerana pintu hadapan rumah sudah mengadap sungai.
Norain berkata, disebabkan kejadian itu berlaku dengan cepat dia tidak sempat menyelamatkan kereta kesayangannya itu yang diparkir di hadapan rumah.
"Saya lihat sendiri bagaimana kereta itu jatuh bersama rekahan tanah.
"Sedihnya sukar digambarkan, bagaimanapun saya bersyukur kami selamat daripada musibah ini," katanya.
Sebelum itu, Nor Ain menerima kunjungan dan bantuan wang tunai daripada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.