SHAH ALAM – Profesion kewartawanan Islam menuntut pengamalnya menunaikan tanggungjawab sosial serta turut berperanan penting dalam membentuk kehidupan masyarakat melalui penulisan berita, rencana, laporan dan sebagainya.
Pensyarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Pra-Universiti (CELPAD), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdullah Bukhari Abdul Rahim berkata, etika kewartawanan al-Quran juga perlu ada pada setiap wartawan atau penulis supaya maklumat disampaikan benar dan sahih serta tidak bercanggah dengan syariat.
"Kemajuan teknologi terutama media massa kini boleh menjadi musibah dan alat propaganda untuk menjatuhkan orang lain.
"Teknologi yang ada sekarang boleh jadi nikmat dan juga bala sedahsyat-dahsyatnya. Zaman sudah berubah, dulu pakai surat layang untuk jatuhkan orang lain tetapi sekarang ada cybertrooper,” katanya.
Justeru beliau berkata, kewartawanan di dalam Islam bukan hanya bersikap sekadar memiliki akhlak kerohanian sahaja namun hendaklah merangkumi lebih daripada itu.
"Sebab itu penulis perlu bersikap ikhlas dan takwa sebelum hendak berkongsi sesuatu isu. Ada orang merasakan dia bertakwa namun tanpa sedar dia menyebarkan kepalsuan.
"Keduanya perlu ada ilmu supaya setiap penulisan itu memberi manfaat kepada orang lain,” katanya pada program Wacana Al-Quran Siri 87 bertajuk ‘Wartawan Al-Quran: Nilai & Integriti yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Selasa.
Program itu turut menampilkan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Dr Mohamad Saleeh Rahamad @Ahamad yang juga Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) manakala Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator dan qari jemputan, Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan surah Al-Baqarah, ayat 121 dan surah At-Taubah ayat 124.
Beliau berkata, silibus pendidikan mengenai dosa dan pahala perlu dirombak mengikut peredaran masa.
"Jika dulu bila nak buat dosa, kita sentiasa diingatkan ada malaikat yang akan mencatat segala perbuatan kita.
"Begitu juga sekarang, bila nak tulis atau kongsi apa-apa dalam media sosial, perlu juga ingat, ada malaikat akan mencatat,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdullah Bukhari berkata, wartawan al-Quran perlu kreatif untuk menarik masyarakat mencintai al-Quran.
"Al-Quran adalah bahan mentah yang perlu diambil manfaatnya sebab itu kena kreatif dan beretika agar dapat menarik minat orang lain,” katanya.