Taktik seludup 28 PATI guna treler gagal

Iklan
PATI yang disembunyikan di dalam treler berjaya ditahan pegawai JIM Kilometer 38 Lahad Datu.

LAHAD DATU - Cubaan penyeludup migran menyembunyikan 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) di dalam treler gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila ditahan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kilometer 38 Lahad Datu, Isnin lalu.

Dalam operasi pada jam 9 malam itu, semua PATI warga Indonesia itu cuba diseludup masuk ke daerah ini dengan menaiki treler terbabit.

Iklan
Iklan

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, tangkapan dibuat melalui Ops Serkap selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai.

"Pegawai Operasi Imigresen bertindak mengekori treler dari Jalan Asam Lahad Datu hingga ke sekatan jalan raya (SJR) Kilometer 38 Jalan Lahad Datu sebelum meminta anggota polis yang berkawal di SJR untuk menyekat perjalanan lori berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Muhamad Sade berkata, hasil pemeriksaan, pemandu lori yang dipercayai warga tempatan turut ditahan dan dibawa ke Pusat Kurantin Transit Dewan Tun Datu Haji Mustapa, Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

"Pemandu lori akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala 25 PATI ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan tiga lagi ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta yang sama," katanya.

Iklan

Terdahulu, Muhamad Sade menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap sebarang aktiviti penyeludupan migran.

"Imigresen Sabah memberi amaran kepada warga asing supaya menyerah diri kepada jabatan jika ada kesalahan imigresen dan tidak memilih jalan bercanggah dengan undang-undang.

"Orang awam juga tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang jika melibatkan diri dalam aktiviti berkenaan," katanya.