Kedah sedia pelan kontingensi

Iklan
Muhammad Sanusi (tengah) pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman.

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menyediakan pelan kontigensi bekalan air bagi berdepan musim kemarau yang mengakibatkan beberapa daerah di negeri ini mengalami gangguan bekalan air sejak awal tahun.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya merangka pelan jangka pendek bagi mengatasi masalah itu segera disusuli dengan pelan jangka panjang melibatkan pembinaan lima Loji Rawatan Air (LRA).

Iklan
Iklan

Menurutnya, masalah bekalan air secara menyeluruh hanya akan dapat diatasi sepenuhnya menjelang 2024 apabila lima LRA, iaitu LRA Pelubang, Jenun Baru, Sungai Limau, Bukit Selambau dan Lubuk Buntar Lama siap dibina.

"LRA Pelubang sudah diberikan kelulusan oleh Kementerian Kewangan untuk kita mulakan Mac ini. Manakala empat lagi LRA yang ditender sebelum ini masih menunggu kelulusan yang disyaratkan kementerian itu.

Iklan

"Kita harap kelulusan itu dapat diumumkan pada hujung bulan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya mohon pertimbangan Kementerian Kewangan untuk segera mengeluarkan surat setuju terima (SST) berikutan masalah bekalan air di Kedah agak kritikal dan berlarutan lama.

Iklan

"Paling kritikal adalah LRA Bukit Selambau yang membekalkan air mentah ke kawasan Merbok, Tupah dan Singkir. Ketiga-tiga kawasan ini bergantung pada air Gunung Jerai dan apabila kemarau, air daripada sumber itu kering berikutan sumber terhad, selain bergantung pada aliran dari gunung sepenuhnya,” katanya.

Menurutnya, daerah Sik dan Baling dijangka mengalami kepanasan luar biasa dan menyebabkan beberapa kawasan di dua daerah berkenaan berdepan gangguan bekalan air bersih.

"Untuk penyelesaian jangka pendek, Syarikat Air Darul Aman (SADA) menyediakan lori air ke kawasan terjejas, selain khidmat 25 lori tangki berkapasiti 1200 gelen, empat lori SADA, 21 lori disewa khas serta tiga lori jumbo berkapasiti 11,000 hingga 13,000 gelen,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, tangki jumbo turut diletakkan di kawasan terjejas seperti Taman Nelayan Tanjung Dawai, Taman Gurun Jaya, Taman Murni, Bukit Bayu dan Universiti Aimst.

"Agihan bermula jam 8 pagi hingga lewat malam dan penghantaran secara harian dilakukan ke klinik, sekolah, masjid serta premis kerajaan dan awam, manakala selang sehari ke rumah pengguna. Ini termasuk meletakkan tangki statik di tempat terjejas,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun kos penghantaran air ke rumah agak tinggi di mana kos pada tahun lalu mencecah RM3 juta.

Mengulas lanjut, katanya, penyusutan kapasiti normal menyebabkan gangguan bekalan air kritikal terutama pengguna di kawasan tinggi dan penghujung sistem paip.

"Loji Headwork Tupah menyusut dari 18 juta liter sehari (mld) kepada 10 mld (beroperasi 61 peratus), Loji Headwork Merbok menyusut dari 3 mld ke 0.96 mld (beroperasi 32 peratus) manakala Loji Headwork Gurun dari 5 mld ke 3.2 mld (beroperasi 65 peratus),” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, kekurangan sumber air mentah menyebabkan loji tidak mampu memaksimumkan pengeluaran air bersih selain ketiadaan sumber dari empangan lain untuk menyokong permintaan.

"Ini menyebabkan 3,000 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air iaitu 700 akaun di Gurun, selebihnya di Merbok dan Tanjung Dawai. Saya harap pengguna bersabar walaupun mereka telah lama bersabar. Insya-ALLAH kemelut ini akan berakhir pada 2024,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, SADA berusaha menangani masalah kadar air tidak terhasil (NRW) yang tinggi iaitu 48 peratus dengan sasaran kepada 30 peratus.

"Proses NRW perlu selari dengan pembinaan lima LRA itu bagi mengelak kehilangan air berlaku lebih banyak. NRW berlaku berpunca daripada paip bocor, meter rosak dan kecurian air.

"Kita akan perhalusi cadangan dari beberapa syarikat yang kemukakan penyelesaian terbaik NRW, antaranya penggantian 70 peratus paip usang melibatkan ratusan juta ringgit,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan beberapa kawasan sekitar Kuala Muda, Kota Setar dan Baling berdepan gangguan bekalan air berikutan musim kemarau yang melanda negeri ini sejak awal tahun.