BAYAN LEPAS - [DIKEMASKINI] Keenam-enam lelaki yang hilang ketika keluar memancing dari Jeti Tanjung Berembang, Nibong Tebal memanjatkan kesyukuran kerana berjaya diselamatkan walaupun terpaksa menempuh pelbagai dugaan.
Tekong bot, Mohd Khairul Anuar Mohd Salleh, 30 berkata, antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan adalah berhadapan dengan ribut kuat selain dilambung ombak setinggi empat meter.
Menurutnya, mereka juga terpaksa mencatu makanan kerana tidak tahu tempoh bantuan oleh pihak penyelamat akan sampai untuk menyelamatkan mereka.
"Ketika hanyut di laut, kami terpaksa menempuh ribut kuat dan ombak setinggi empat meter. Itu peristiwa yang paling kami tidak boleh lupakan sampai bila-bila.
"Kami juga terpaksa mencatu makanan yang dibawa kerana tak tahu bila bantuan akan sampai," katanya.
Menceritakan kejadian tersebut, Khairul Anuar berkata, bot fiber mereka mengalami kerosakan di bahagian kotak gear selepas terlanggar tali kapal yang dibuang ke dalam laut menyebabkan ia pecah.
Tambahnya, bot yang dinaiki tidak dapat dihidupkan selepas kotak gear pecah dan mereka telah memasang sauh untuk mengelakkan bot hanyut.
"Selepas terlanggar tali kapal yang dibuang itu, kami menanggalkannya dan membuang sisa-sisa tali berkenaan. Tali itu agak besar dan disebabkan itu lah, kotak gear kami pecah. Bot dah tak boleh jalan dan kami pun terkandas di tengah laut.
"Oleh itu, kami turunkan sauh dari jam 6 petang hingga 4 pagi. Ketika itu, ribut kuat hingga menyebabkan sauh itu terlepas. Kami hanyut kira-kira 15 kilometer dari jarak yang kami turunkan sauh itu. Masa itu, kami hanya mampu berdoa dan bertawakal sahaja," katanya.
Khairul Anuar berkata, kejadian hanyut di laut hampir 24 jam itu merupakan pengalaman paling ngeri dalam hidupnya.
"Kami banyak berdoa agar dijauhkan dari sebarang bencana dan minta bantuan cepat sampai. Itu saja yang mampu dibuat pada waktu itu. Masing-masing dah tak tahu nak buat apa namun kami yakin, bantuan akan sampai.
"Ini adalah pengalaman paling ngeri yang pernah saya alami. Pesanan saya, jangan buang sampah ke laut kerana kesannya amat besar pada bot nelayan dan bot-bot lain," katanya.
Sementara itu, rakannya, Khairil Hafidzi Tajuddin, 30 an mengucapkan berterima kasih kepada semua pihak yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat sehingga berjaya membawa mereka ke jeti.
"Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pencarian kami," katanya.
Kedua-duanya ditemui di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini bersama empat rakan mereka, Mohd Azmil Abdul Rahman, 31, Mohd Faiz Ibrahim, 30, Lee Chee Sen, 49 dan Mohd Rajis Jamil, 35.
Mereka tiba di jeti berkenaan kira-kira jam 10.10 malam tadi.
Mereka disambut lebih 50 orang yang terdiri daripada ahli keluarga masing-masing yang menunggu sejak jam 7 malam selepas mendapat maklumat mereka ditemui dalam keadaan selamat.
Turut hadir, Adun Batu Maung, Datuk Abdul Halim Hussain dan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun.