KDA FC: Rundingan syarikat swasta gagal dimuktamad

Iklan
Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR - Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) akan dikendalikan sepenuhnya oleh Darulaman FC Sdn Bhd (DFC) setelah rundingan pengambilalihan 80 peratus saham dengan syarikat swasta gagal dimuktamadkan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rundingan itu menemui jalan buntu apabila beberapa permintaan daripada syarikat berkenaan tidak dapat dipenuhi oleh KFA dan kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah pihaknya membuat penilaian sewajarnya, selain disifatkan mendatangkan lebih banyak kerugian berbanding manfaat kepada rakyat Kedah.

"Proses ambil alih 80 peratus saham KDA FC oleh syarikat berkenaan tidak dimuktamadkan, semalam (Selasa) saya putuskan untuk tidak meneruskan rundingan tersebut.

Iklan

"Pasukan Kedah akan dikendalikan sepenuhnya oleh DFC yang ditubuhkan oleh KFA,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pada Rabu.

Muhammad Sanusi mendedahkan antara permintaan syarikat terbabit termasuk permohonan tanah berstatus pertanian untuk diubah syarat kepada tanah industri.

Iklan

"Syarat lain termasuk pemilikan Stadium Darul Aman, kita tidak boleh sesuka hati langgar akta kerana stadium dimiliki oleh Perbadanan Stadium, kita tak boleh penuhi permintaan ini, tak boleh sewenangnya lupus akta,” katanya.

Menurutnya, rundingan kini dibuka kepada syarikat lain yang berminat menjalin kerjasama dengan KDA FC.

"Kita akur sekiranya rundingan yang tidak diteruskan ini turut menyebabkan terbatalnya pelaburan yang dijanjikan syarikat berkenaan mencecah RM1 bilion sekiranya perjanjian itu dimeterai,” katanya.

Sebelum ini, gabungan dua syarikat automotif tempatan dijangka membeli 80 peratus saham DFC yang dimiliki Menteri Besar Incorporated (MBI) bernilai RM24 juta sekali gus menjadikan mereka pemilik pasukan KDA FC.

Difahamkan, Go Auto Group dan Flumen Holdings Sdn Bhd bakal menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang akan dimeterai dalam tempoh terdekat. SPV terbabit akan memegang saham majoriti DFC secara konsesi selama lima tahun dan dibenarkan menyambung selama lima tahun lagi tertakluk kepada perjanjian.