Kuasai, betulkan bahasa Melayu dulu...

Iklan

SHAH ALAM - Sasterawan Negara mengingatkan segelintir rakyat Malaysia jangan hanya kecoh menegur sebutan individu lain dalam bahasa Inggeris, sebaliknya mengabaikan kepentingan untuk menguasai, menghormati dan mencintai bahasa kebangsaan sendiri.

Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan berkata, perkara itu perlu diberi perhatian, ekoran masih ramai rakyat Malaysia sendiri yang tidak fasih berbahasa Melayu selain gemar menggunakan bahasa 'Melayu rojak' iaitu bahasa Melayu yang bercampur dengan Inggeris dalam pertuturan harian.

Iklan
Iklan

"Maka apa yang kita perlu tekankan adalah sebutan bahasa Melayu yang bercampur aduk dan perlu diperbetulkan.

"Jangan hanya kecoh menegur mengenai sebutan bahasa Inggeris orang lain, sedangkan dalam penggunaan bahasa Melayu, masih ramai yang tidak fasih berbahasa Melayu selain menggunakan bahasa rojak,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Menurut Anwar, beliau bukanlah menidakkan kepentingan sebutan bahasa Inggeris, namun sebutan bahasa antarabangsa mempunyai ‘slanga’ yang berlainan.

"Sebutan bahasa Inggeris orang Itali adalah berlainan dengan sebutan orang di Malaysia dan sebagainya.

Iklan

"Apa yang perlu ditekankan adalah penyampaian ucapan itu sama ada ia menyampaikan mesej yang tepat atau sebaliknya hanya ucapan kosong.

"Malah, seeloknya kita perbetulkan bahasa Melayu dahulu dan cuba fahami bahasa Inggeris. Apa pun setiap bahasa yang digunakan mempunyai maksud tersendiri dan perlu digunakan dengan susunan bahasa yang baik dan teratur,” katanya lagi.

Dr Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu segelintir pihak yang menegur dan memperlekehkan kesilapan sebutan bahasa Inggeris Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Dalam pada itu, pandangan yang sama turut diketengahkan, Sasterawan Negara, Datuk Baharudin Zainal atau Baha Zain bahawa bahasa Melayu perlu diutamakan memandangkan ia merupakan bahasa kebangsaan yang digunakan oleh pelbagai bangsa di Malaysia.

"Maka mengenai sebutan seorang menteri itu bukan tidak penting, namun ia dipertuturkan dengan sebutan tersendiri mengikut ‘slanga’. Ia masih difahami oleh ramai pihak dan ia tidak menjadi kesalahan asalkan maksudnya sampai.

"Apa pun kita juga perlu menekankan isu yang lebih utama adalah penggunaan bahasa Melayu yang turut dirojakkan oleh sesetengah pihak dan diharap perkara ini turut diberi perhatian utama,” katanya lagi.