SEMAKIN hari semakin risau pula Merak Jalanan tengok tangkapan kes dadah di Malaysia.
Dari utara sampai ke selatan dan dari timur sampai ke barat, Merak Jalanan rasa, ada dalam 10 kes tangkapan dilakukan setiap hari. Ada tangkapan melibatkan penagih dan ada juga tangkapan melibatkan pengedar.
Marah ada, sedih pun ada apabila Merak Jalanan membaca satu persatu laporan di media.
Mana tidaknya, kebanyakan mereka yang terjebak adalah golongan belia.
Sepatutnya mereka beri sumbangan kepada negara ketika masih bertenaga.
Malangnya, dalam diam mereka telah menghancurkan diri sendiri. Hairan, bukankah dadah itu musuh nombor satu negara tapi kenapa masih ramai yang mahu berkawan?
Mengikut statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dari Januari hingga Jun 2020, seramai 95,505 individu terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Daripada jumlah tersebut 91,466 adalah lelaki manakala 4,039 pula wanita. Itu baru statistik setengah tahun, kalau AADK keluarkan setahun tidak tahulah Merak Jalanan berapa jumlahnya?
Statistik sama mencatatkan mereka yang terlibat merangkumi pelbagai lapisan umur dan profesion. Mereka yang terlibat berusia antara 19 hingga 39 tahun.
Majoritinya terdiri daripada pekerja sektor swasta. Sementara dadah yang paling banyak ditagih ialah syabu, heroin dan ganja.
Lihat betapa kroniknya situasi ketagihan dadah di negara kita walaupun pihak berkuasa tidak pernah berhenti memeranginya.
Tapi, sampai ke hari ini perkara itu masih belum berjaya ditangani. Malah, kes berkaitan dadah terus menular ke sana sini tanpa ada penghujungnya.
Umpama kotoran degil, dadah sukar dihilangkan. Sekali terpalit, selamanya menderita. Lebih teruk, ia menjejaskan keluarga dan komuniti.
Mereka yang tidak bersalah itu akhirnya ikut sekali menanggung derita dicipta tahi dadah.