[EKSKLUSIF] 233 ditangkap jadi keldai dadah

Iklan
Polis mengesan taktik keldai dadah yang menyembunykan dadah di anggota badan.

SHAH ALAM - Terpedaya dengan tawaran kerja serta pakej percutian mewah menjadi punca individu sanggup menjadi keldai dadah.

Ini terbukti dengan penahanan 233 orang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, Sepang bagi tempoh dua tahun sejak 2019 dengan rampasan dadah mencecah RM6.6 juta.

Iklan
Iklan

Tahun 2019 mencatatkan 131 tangkapan dengan rampasan bernilai RM2.7 juta manakala tahun berikutnya seramai 102 individu telah ditahan dengan rampasan berjumlah RM3.9 juta.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Abdul Latiff Mehat berkata, siasatan pihaknya mendapati sindiket dadah menjadikan lapangan terbang KLIA dan KLIA2 sebagai transit untuk menghantar bekalan dadah tempatan atau ke negara lain.

Abdul Latiff

Iklan

Menurutnya, sindiket akan mengiklankan tawaran kerja di media sosial dengan upah lumayan selain pakej percutian, pekerjaan di luar negara atau bekerja sebagai wakil syarikat untuk mengambil barang dan seumpamanya.

"Mangsa yang tertarik akan menghubungi nombor telefon yang dipaparkan sebelum berjumpa dengan individu (suspek) berkenaan.

Iklan

"Selepas berjumpa, mangsa akan direkrut oleh sindiket untuk menjadi 'keldai dadah'," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Abdul Latiff berkata, dadah itu diseludup dengan kaedah 'body pack' iaitu diikat pada anggota badan dalam kuantiti satu hingga dua kilogram (kg) sahaja untuk seorang.

Katanya, keldai dadah juga boleh menggunakan pakaian yang besar atau labuh bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Selain itu dadah juga boleh disorok di bahagian bagasi, makanan haiwan dan bungkusan hadiah.

"Kebanyakan mangsa tidak menyedari yang mereka terjerat dengan sindiket berkenaan.

Tambahnya, siasatan polis mendapati kebanyakan keldai dadah ini diupah dengan bayaran RM2,000 hingga RM3,000 dan percutian bagi sekali penghantaran. Malah upah itu juga bergantung kepada jenis dadah yang dibawa.

"Bagi mengelak dikesan, sindiket memilih waktu awal pagi kerana tiada kesesakan pengunjung dan penumpang ketika itu.

"Malah sindiket juga akan mensasarkan waktu puncak kerana beranggapan ketika itu pemeriksaan yang terhad oleh pihak berkuasa di lapangan terbang.

Abdul Latiff menjelaskan, syabu merekodkan rampasan terbanyak dalam tempoh dua tahun itu.

"Pada 2019, sebanyak 29.8 kg syabu dirampas manakala tahun 2020 sebanyak 3,649.4 kg.

"Ini menunjukkan permintaan tinggi dadah jenis itu di luar negara yang harganya meningkat dua hingga tiga kali ganda," katanya.

Menurutnya, Polis Selangor akan terus memperkasakan risikan maklumat, meningkatkan kerjasama dengan jabatan lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

" Orang ramai pula perlu memeriksa terlebih dahulu setiap iklan pekerjaan yang ditawarkan bagi mengelak dikenakan tindakan bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.