JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor menggagalkan cubaan membawa keluar sarang burung walit tanpa permit eksport yang sah ke Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri dekat sini pada Selasa.
Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, sarang burung seberat 2.4 kilogram itu ditemukan semasa pemeriksaan dalam sebuah lori di laluan kenderaan perdagangan pada jam 8.30 malam.
"Hasil pemeriksaan Pegawai Penguat Kuasa Maqis menemui sarang burung walit yang diletakkan dalam dua kotak dianggarkan berharga RM13,200. Sarang burung walit ini ditahan untuk tindakan lanjut sehingga siasatan selesai.
"Pihak Maqis turut menyoal siasat dan mengambil keterangan pemandu yang berusia 35 tahun itu sebelum dilepaskan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, perbuatan mengeksport dengan memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan semasa pemeriksaan adalah suatu kesalahan di bawah seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut seksyen sama.
Jika sabit kesalahan katanya, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam satu kes berlainan, beliau berkata, Maqis Johor turut mematahkan cubaan membawa masuk 100 kilogram produk telur iaitu 'egg yolk powder' di laluan kargo import di Bangunan Sultan Iskandar di sini pada hari yang sama.
"Hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan Pegawai Maqis mendapati, produk tersebut dipercayai datang dari Denmark melalui Singapura.
"Kesemua barang dagangan tersebut yang dianggarkan bernilai RM3,386 ditahan untuk tindakan lanjut kerana tidak mematuhi syarat import iaitu gagal mengemukakan sijil kesihatan dari negara asal sebagaimana dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan," katanya.
Pemandu lori berusia 28 tahun itu katanya, disoal siasat dan dilepaskan selepas keterangan diambil.
Menurutnya, kes disiasat di bawah seksyen 15 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana tidak mematuhi syarat import, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, Nur Afifah memberitahu, boleh didenda tidak lebih RM150,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.