Kes basikal lajak: Mahkamah Tinggi perintah jurujual bela diri

Iklan
Keputusan itu dibuat ketika prosiding keputusan rayuan pendakwaan terhadap perintah tersebut di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor pada Khamis pagi.

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis memerintahkan jurujual, wanita Sam Ke Ting, 26 yang memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017, membela diri atas tuduhan berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Shahnaz Sulaiman, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, terhadap Ke Ting.

Iklan
Iklan

Keputusan itu dibuat ketika prosiding keputusan rayuan pendakwaan terhadap perintah tersebut di sini, pada Khamis pagi.

Mengikut pertuduhan, Ke Ting yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada jam 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Iklan

Kelapan-lapan mangsa terlibat ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14 (ketika kejadian); Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Ke Ting didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda RM20,000, jika sabit kesalahan.

Iklan

Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain lesen memandu dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sepanjang proses perbicaraan.

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan bagi pembelaan tertuduh selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Mei tahun ini.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Faizal Mokhtar.