TEMERLOH - Tindakan pantas Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Krau berjaya menyelamatkan empat unit rumah lain dalam kebakaran di Taman Setia,Kuala Krau,Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, empat unit rumah terbakar membabitkan rumah teres nombor 15,17,19 dan 21 di lorong terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh, Penolong Penguasa Bomba,Syed Mohsen T. Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 9.53 pagi.
Menurutnya,16 anggota dari PBS Kuala Krau berjaya memadamkan kebakaran sebelum anggota bomba dari BBP Temerloh tiba di tempat kejadian.
"Jarak BBP Temerloh ke tempat kejadian kira-kira 20 minit dan jarak PBS Kuala Krau yang lebih dekat berjaya memadamkan kebakaran terbabit terlebih dahulu.
"Sampai di tempat kejadian api dipadamkan dan anggota kita melakukan kerja-kerja overhaul dan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi punca api kebakaran manakala operasi tamat pada jam 11.40 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, kejadian bermula dari rumah nombor 17 yang musnah 80 peratus manakala nombor 15 (50 peratus), rumah nombor 19 dan 21 (20 peratus).
Tambahnya, ketika kejadian empat buah keluarga berjaya menyelamatkan diri dan kejadian tidak membabitkan sebarang nyawa.
"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.