Melecur terkena penyembur racun meletup

Iklan
Mohd Muzaid melecur di perut, dada, tangan dan muka selepas disambar api ketika membakar sampah di belakang rumahnya di Kampung Parit 3 di sini pada Ahad.

TANJONG KARANG - Seorang pengait kelapa sawit melecur di perut, dada, tangan dan muka selepas disambar api ketika membakar sampah di belakang rumahnya di Kampung Parit 3 di sini pada Ahad.

Dalam kejadian jam 7 petang itu, Mohd Muzaid Kasrip, 36, yang sedang menunduk ketika membakar sampah dikejutkan dengan bunyi letupan penyembur racun serangga sebelum api tiba-tiba menyambarnya yang berada di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

"Saya sempat menghadang api menggunakan kedua-dua belah tangan dan jika tidak kesan lecur pada bahagian badan mungkin lebih serius," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Bapa kepada lima anak itu berkata, dia bernasib baik kerana ketika kejadian anaknya, Aisy Irfan, 10, sedang mandi di bilik air.

Iklan

"Biasanya anak saya yang membakar serpihan sampah di belakang rumah, tapi disebabkan dia mandi saya membantunya membakar sampah tersebut," katanya.

Menurutnya, bunyi letupan penyembur racun serangga itu terlalu kuat hingga isterinya, Julaiha Talib, 36, yang berada di dalam rumah turut terkejut.

Iklan

"Isteri saya menjerit sambil bertanya siapa di belakang rumah dan sebaik keluar dia terkejut apabila melihat saya sudah disambar api.

"Kejadian berlaku dalam sekelip mata sahaja dan saya meminta isteri memanggil sepupu untuk membawa saya ke Hospital Tanjong Karang," katanya.

Mohd Muzaid berkata, meskipun kesan melecur beransur-ansur pulih, namun rasa pedih terutama ketika berpeluh masih dirasai sehingga kini.

"Pada masa ini saya bergantung sepenuhnya dengan pil penahan sakit dan pengambilan ubatan.

" Doktor memaklumkan kulit yang melecur mungkin pulih dalam tempoh tiga minggu dan saya perlu berpantang agar luka melecur cepat sembuh," katanya.

Sementara itu, nasib dialami Mohd Muzaid mendapat perhatian daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, Mohd Muzaid layak didaftarkan sebagai asnaf miskin sementara menunggunya pulih sepenuhnya untuk bekerja semula.

"Lembaga Zakat Selangor akan menyalurkan bantuan persekolahan anak, bantuan perubatan serta bantuan kewangan bulanan untuk meringankan beban keluarganya," katanya.