JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis memerintahkan jurujual Sam Ke Ting, 26, yang memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017, membela diri atas tuduhan berkenaan.
Pesuruhjaya Kehakiman Dr Shahnaz Sulaiman, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, terhadap Ke Ting.
Terdahulu, Ke Ting yang mengenakan pakaian serba hitam hadir ke mahkamah kira-kira jam 8 pagi tadi.
Ke Ting diwakili peguam Muhammad Faizal Mokhtar manakala pendakwaan dikendalikan Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret menetapkan 9,10 dan 11 Mei depan bagi Ke Ting membela diri.
Majistret Zuhainie Zull Kafli, turut mengarahkan Ke Ting diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin manakala lesen memandu dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.
Pada 10 November 2019, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan Ke Ting daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang berbasikal pada 18 Februari 2017.
Majistret Siti Hajar Ali dilaporkan membebaskan Ke Ting tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Seramai 46 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang perbicaraan yang bermula Ogos 2017 dengan 214 eksibit.
Mengikut pertuduhan, Ke Ting didakwa memandu secara melulu dan berbahaya di Jalan Lingkaran Dalam hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada jam 3.20 pagi, 18 Februari 2017.
Ke Ting didakwa menyebabkan kematian Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.