Kerajaan luluskan permohonan PSU bernilai RM12.76 bilion

Iklan
TENGKU ZAFRUL

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah meluluskan permohonan untuk Program Subisidi Upah (PSU) bernilai RM12.76 bilion setakat 5 Februari 2021, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, sehingga 30 September 2020 iaitu tarikh tutup PSU 1.0, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Iklan
Iklan

"Untuk PSU 2.0 di bawah Kita Prihatin, sejumlah RM770.31 juta telah disalurkan kepada 65,398 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 534,183 pekerja,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut maklum bahawa kerajaan sedar bantuan tunai sahaja tidak memadai.

Iklan

"Sehubungan itu, di bawah Strategi Menjana dan Mengekalkan Pekerjaan, beberapa langkah telah diambil melalui kerjasama rapat di antara kerajaan dan industri,” katanya ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-41 pada Khamis.

Ini termasuk pewujudan portal MyFutureJobs https://www.myfuturejobs.gov.my/ yang menawarkan lebih 200,000 peluang pekerjaan untuk pencari kerja dengan proses pemadanan calon dan industri turut disediakan.

Iklan

Pengelolaan Karnival Penjana Kerjaya Kebangsaan Kementerian Sumber Manusia 2021 turut dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 26 Februari ini.

Karnival ini merupakan acara dalam talian yang mengumpul majikan dari seluruh negara untuk sesi temu duga bagi pengambilan pekerjaan baharu.

Peserta yang berminat boleh mendaftar melalui pautan https://careerfair.perkeso.gov.my.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut memberi fokus untuk mewujudkan lebih 160,000 pekerjaan baharu tahun ini melalui komitmen pelaburan yang akan dipantau oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Sementara itu, menteri itu menambah setakat 5 Februari lalu, seramai 130,871 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan.

Selain itu, 133,301 peserta telah diluluskan untuk mengambil bahagian dalam Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran. - Bernama