SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan orang ramai supaya menggunakan elektrik secara berhemah ketika cuaca panas.
TNB dalam satu kenyataan memaklumkan, penggunaan elektrik dijangka meningkat sehingga Mac disebabkan cuaca panas dan pematuhan duduk di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan fasa akhir Monsun Timur Laut ketika ini akan berterusan sehingga pertengahan Mac dengan taburan hujan yang rendah serta cuaca agak panas.
"Antara amalan mudah yang boleh dilakukan untuk menjimatkan pengguna elektrik adalah tidak membiarkan pendingin hawa, kipas dan lampu terpasang dalam bilik yang kosong serta mematikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas menggunakannya.
"Pengguna juga perlu memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) selain sentiasa menyelenggara pendingin hawa," kata kenyataan tersebut pada Khamis.
Kata kenyataan itu, pengguna yang telah memasang meter pintar akan mendapat kelebihan untuk mengendalikan tenaga elektrik dengan efisien dan lebih baik.
"Ini kerana meter pintar menghantar maklumat jumlah penggunaan tenaga elektrik bagi tempoh setengah jam, satu hari dan setiap bulan.
"Pengguna boleh memantau melalui aplikasi dan portal myTNB serta menyesuaikan amalan penggunaan peralatan elektrik mereka," katanya.
Katanya, pengguna juga disarankan untuk memanfaatkan pemberian e-Rebat RM200 menerusi program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) 2.0.
"E-Rebat ini terpakai untuk pembelian alat pendingin hawa atau peti sejuk yang berlabel cekap tenaga empat atau lima bintang oleh ST.
"Program ini dianjurkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga dan Sustainability Energy Development Authority (SEDA) sebagai agensi pelaksana," katanya.