SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan RM4.35 juta bagi melaksanakan Program Bakul Makanan kepada golongan terjejas dengan impak Covid-19.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program itu sebahagian inisiatif pakej Kita Selangor yang diumumkan 20 Januari lalu dengan peruntukan keseluruhan RM73.88 juta.
Katanya, bantuan itu akan disampaikan kepada beberapa kumpulan sasar meliputi penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR), pemandu teksi, pemandu bas, pemandu lori KDEB Waste Management dan isi rumah berasal dari Selangor.
"Secara keseluruhan, seramai 24,627 penerima akan mendapat manfaat bantuan ini.
"Sejumlah RM1 juta akan disalurkan melalui Yayasan Foodbank Malaysia (YFBM) untuk melaksanakan pemberian bakul makanan ini kepada pemandu bas dan teksi di Selangor,” katanya selepas Majlis Simbolik Penyerahan Cek Dana Bantuan Program Bakul Makanan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pemberian makanan kering atau yang telah dimasak akan dilakukan secara berperingkat dan diselaraskan oleh beberapa jabatan serta agensi kerajaan negeri.
"Saya berharap agar bantuan ini dapat membantu meringankan bebanan rakyat dan golongan memerlukan di negeri ini yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perkembangan inisiatif kad sim percuma, Amirudin berkata, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim akan membawa perkara itu ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dibentangkan bagi mendapatkan kelulusan.
Tambahnya, kerajaan negeri akan memilih syarikat telekomunikasi yang menawarkan harga dan kadar data terbaik buat penerima inisiatif berkenaan.
"Ini kerana pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) turut memerlukan penggunaan video bersaiz besar dan pastinya kalau data rendah, ia tak banyak membantu penerima ini,” katanya.