ALOR SETAR - Seorang guru wanita kerugian RM115,000 selepas diperdaya individu menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mendakwanya memiliki tunggakan cukai atas nama syarikatnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 41 tahun menerima panggilan terbabit pada 7 Februari lepas.
Katanya, mangsa berasal dari Selama, Perak pada awalnya menafikan tunggakan cukai itu sebelum panggilan disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).
"Kemudian, panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat Datuk dari IPK Pahang kononnya pegawai atasan kepada inspektor tersebut.
"Suspek meminta mangsa membuka aplikasi WhatsApp dan terdapat satu mesej memaklumkannya terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, mangsa diarah membuat pinjaman peribadi dengan bank kerana perlu ada kewangan yang kukuh di dalam akaun bank.
"Mangsa pergi ke Bank Rakyat dan membuat pinjaman wang sebanyak RM133,080.90 seterusnya diarahkan membuka pautan perisian yang diberikan dan memuat naik aplikasi MyBNM untuk mengisi maklumat peribadi," katanya.
Katanya, mangsa tanpa membuat semakan telah memuat naik aplikasi dan mengisi butiran peribadi serta perbankan miliknya.
"Pada 15 Februari, wang pinjaman sebanyak 133,080.90 telah dikreditkan ke dalam akaun Bank Rakyat miliknya dan mangsa menghubungi suspek berhubung perkara itu," katanya.
Beliau berkata, mangsa cuba masuk ke perbankan dalam talian miliknya pada keesokannya sebelum mendapati akaun disekat.
"Mangsa terus menghubungi khidmat pelanggan bank berkenaan dan diberitahu bahawa terdapat transaksi pindahan wang dari akaun mangsa ke tiga akaun yang berbeza berjumlah RM115,000," katanya.
Katanya, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Kulim pada Rabu dan satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Elias berkata, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan penipuan sindiket yang menyamar sebagai pegawai LHDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM ), bank, mahkamah dan lain-lain.
Katanya, mereka diingatkan membuat semakan terlebih dahulu di balai polis dan bank untuk pengesahan sekiranya menerima panggilan daripada pihak yang tidak dikenali.
"Selain itu, jangan memuat naik sebarang aplikasi yang tidak sah serta mendedahkan maklumat peribadi dan perbankan. Semak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima," katanya.