Sempurnakan sistem pendidikan anak-anak

Iklan
Mohamad Zarifi

SHAH ALAM - Semua pihak perlu bekerjasama dalam menggalas amanah dan tanggungjawab bagi menyempurnakan sistem pendidikan anak-anak.

Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyiaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohamad Zarifi Mohamad Daud, pendidikan merupakan perkara yang paling penting dalam kehidupan anak-anak dan ia tidak boleh dipandang remeh memandangkan negara masih lagi dilanda pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Saya rasa ini reset minda yang perlu kita letakkan terlebih dahulu kerana kalau kita tidak pandang pendidikan ini satu perkara yang penting, maka kita tidak ambil serius.

"Jika ibu bapa pula merasakan pendidikan ini satu perkara yang remeh, maka hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) dan guru tidak akan tercapai kerana masing-masing tiada kesepakatan dalam perkara ini,” katanya pada Wacana al-Quran Siri ke-88 bertajuk PdPR: Tanggungjawab Bersama yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Iklan

Turut menjadi panelis program, Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, Abdul Muiez Ruslee.

Dari kiri: Fazrul, Abdul Muiez, Mohamad Zarifi dan Ahmad Tirmizi pada program Wacana al-Quran Siri 88 bertajuk PdPR: Tanggungjawab Bersama yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf pada Rabu. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Program itu dimoderatorkan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail dan Qari, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan bacaan surah al-Nisa’ ayat 58.

Iklan

Mohamad Zarifi berkata, pandemik Covid-19 'mengajak' ibu bapa untuk kembali kepada asas iaitu tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Jika tahun-tahun sebelumnya, beliau berkata, ibu bapa sering menswastakan sepenuhnya pendidikan anak-anak kepada pihak sekolah dek kerana terlalu sibuk dalam mencari sumber pendapatan.

"Mereka langsung tidak pedulikan apa yang guru lakukan di sekolah, malah tidak mengambil berat tentang perkembangan anak-anak. Justeru, dengan hikmah yang berlaku sekarang ini, ibu bapa dapat memperuntukkan lebih banyak masa dengan anak-anak di rumah.

"Apa yang penting ialah ibu bapa perlu menyediakan keperluan anak-anak untuk belajar, kemudian memberi nasihat khususnya dalam menyampaikan motivasi kepada anak-anak supaya belajar bersungguh-sungguh dalam apa jua ruang yang ada.

"Jika tidak berbuat demikian, anak-anak makin tidak berminat untuk belajar sedangkan pendidikan itu satu perkara yang sangat penting dalam kehidupan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyeru semua pihak agar berfikir bagaimana untuk membangunkan nilai ilmu anak bangsa.

Menurutnya, masing-masing mungkin boleh menyemarakkan industri penyiaran seperti stesen radio dan juga stesen televisyen dengan mewujudkan program-program yang boleh membentuk nilai ilmu.

"Sebagai contoh, menerusi TV Alhijrah kita ada rancangan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA). Ini juga antara siaran percuma untuk mendidik anak-anak.

"Jadi ini saya kira ini merupakan salah satu tanggungjawab yang boleh kita semarakkan bersama-sama di samping membangunkan produk-produk penyiaran yang boleh membentuk nilai intelektual dan nilai ilmu anak-anak,” katanya.