AMPANG - Polis menerima laporan berhubung dakwaan seorang pelajar berusia 13 tahun nyaris di culik di belakang sebuah sekolah di Taman Melawati، di sini 31 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, laporan polis itu dibuat pada 6 Februari lalu.
"Laporan polis dibuat adalah untuk rujukan dan pihak kawalan keselamatan sekolah tersebut serta pengawasan harian kerana khuatir berlaku kejadian sama berulang.
"Kita juga sedang semak kesahihan cerita tersebut، kita akan memaklumkan jika ada perkara baharu berhubung kes berkenaan، ” katanya.
Insiden tersebut dimuatnaik oleh seorang pemilik akaun Twitter yang mendakwa sepupunya hampir diculik oleh seorang lelaki.
Dalam kejadian jam 6.50 petang، pelajar perempuan itu berada di pintu belakang sekolah berkenaan untuk menunggu ibunya.
Pelajar tersebut mendakwa، tiba-tiba datang seorang lelaki dan memberitahunya bahawa dia disuruh oleh ibu pelajar berkenaan untuk menjemputnya pulang.
"Dia berasa pelik، lalu bertanya kepada lelaki berkenaan siapa nama ibu pelajar tersebut، lelaki itu tidak menjawab pertanyaan، sebaliknya terus memegang beg yang digalas oleh pelajar tersebut.
"Mangsa beberapa kali bertanyakan soalan kepada suspek membuatkan lelaki itu memandang ke arahnya sebelum melepaskan beg galasnya sebelum beredar. Pelajar berkenaan telah menceritakan kepada ibunya setelah ibu pelajar berkenaan menjemputnya pada jam 7.10 malam،" katanya.
Ibu kepada pelajar tersebut telah menghubungi pihak sekolah dan membuat laporan polis untuk keselamatan dirinya dan berharap pihak sekolah dapat mempertingkatkan kawalan keselamatan terhadap pelajar terutamanya sewaktu pulang dari sekolah.