SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan kawalan ketat akan dilakukan sepanjang proses pengurusan vaksin Covid-19 yang dijangka tiba Ahad ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setiap proses pergerakan vaksin dari KLIA ke pusat simpanan akan dipastikan berjalan lancar dan terkawal.
"Polis sudah pun membuat persiapan terperinci bagi membantu pihak Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk keselamatan proses pergerakan, penyimpanan dan pengedaran vaksin ini ke tempat-tempat yang ditetapkan.
"Kita akan pastikan vaksin tidak dirampas semasa dalam perjalanan atau dicuri semasa disimpan atau tidak disabotaj, ini semua adalah antara faktor yang menjadi keutamaan PDRM," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan di sekatan jalan raya di Plaza Tol Setia Alam, di sini pada Khamis.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.
Media sebelum ini melaporkan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini pada Ahad, sementara pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan mula dilancarkan secara berfasa pada 26 Februari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, beliau akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan.