KUALA LUMPUR - Kira-kira separuh daripada tenaga kerja Malaysia mahu dasar bekerja dari rumah diteruskan dan pada masa sama digabungkan dengan bekerja di pejabat selepas pandemik Covid-19 berakhir, menurut tinjauan yang dijalankan agensi pengambilan pekerja, Randstad.
Kaji selidik oleh Randstad Workmonitor mendapati 48 peratus daripada responden tempatan menginginkan pengaturan kerja yang fleksibel.
Secara perbandingan, purata 35 peratus daripada responden yang ditemu bual di 34 pasaran di seluruh dunia berpandangan konsep gabungan ini merupakan pengaturan kerja yang paling sesuai.
Ketua Operasi Randstad Malaysia, Fahad Naeem berkata, 14 peratus responden Malaysia pula mahu terus kekal bekerja dari rumah manakala peratusan responden yang sama di peringkat global juga ingin terus bekerja dari rumah sepanjang tempoh kerja.
"Dasar bekerja yang fleksibel ini boleh membantu mengurangkan tahap tekanan dan meningkatkan semangat dalam kalangan pekerja memandangkan mereka dapat mencari pendekatan untuk mengimbangi di antara kerjaya dengan kehidupan peribadi masing-masing.
"Bagaimanapun, bekerja secara jarak jauh ini juga boleh menjejaskan budaya organisasi berkenaan berikutan konsep ini sukar untuk mengeratkan hubungan sesama warga kerja dan merangsangkan tenaga yang diperlukan bagi kerjasama berkesan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Justeru, beliau menasihatkan syarikat melakukan langkah kecil ke arah mencari strategi seimbang yang dapat mengekalkan budayanya dan memenuhi harapan pekerja.
Kaji selidik itu dijalankan secara dalam talian pada Oktober di 34 pasaran di Amerika, Asia-Pasifik dan Eropah dengan minimum 400 responden bagi setiap pasaran.
Hasil dapatan kaji selidik itu juga mendapati ramai majikan telah mempercepat pembangunan kemampuan teknologi masing-masing supaya dapat melengkapkan warga kerja mereka dengan perkakasan dan perisian yang cukup untuk bekerja dari rumah ekoran pandemik.
Naeem berkata, lebih daripada empat dalam kalangan lima responden (82 peratus) berpandangan mereka mempunyai kelengkapan dan teknologi untuk melaksanakan digitalisasi dalam pekerjaan mereka.
Sementara itu, lapan daripada 10 responden merasakan majikan masing-masing telah memberi sokongan dari segi mental dan emosi dalam menghadapi pandemik ini.
"Satu daripada tiga responden amat berharap majikan mereka boleh menyediakan program bantuan pekerja pasca-Covid-19.
"Satu daripada dua responden mengharapkan majikan mereka menyediakan dasar kesihatan yang baik dan protokol keselamatan (52 peratus) di samping akses kepada insurans kesihatan (51 peratus)," katanya. - Bernama