KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) berhak mengeluarkan arahan kepada pemilik penginapan untuk mengganti, mengubah atau membaiki penginapan, yang tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, ia merupakan antara pelaksanaan undang-undang baharu di bawah Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021, yang telah diwartakan semalam bagi mengawal penularan Covid-19.
Beliau berkata, Ketua Pengarah JTKSM juga mempunyai kuasa, untuk memindahkan pekerja dengan serta-merta dari penginapan sesak dan tidak sesuai didiami ke penginapan sementara yang ditetapkan jabatan.
"Dalam hal ini, pemilik penginapan akan menanggung kos pengangkutan dari penginapan asal ke penginapan sementara, pengangkutan pergi balik ke tempat kerja dan penginapan sementara dan kos sewaan penginapan sementara.
"Pemilik penginapan yang gagal mematuhi arahan ini, boleh didenda RM200,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya pada sidang akhbar pada Khamis.
Saravanan berkata, melalui Ordinan Darurat juga, Akta 446 akan diperluas ke Sabah dan Sarawak, dan perincian mengenainya akan dibincangkan bersama kedua-dua kerajaan negeri.
"Ordinan Darurat juga memberi kuasa kepada Menteri Sumber Manusia untuk membuat penurunan kuasa Akta 446 kepada pegawai daripada agensi lain,” katanya.
Dalam pada itu, dua peraturan baharu di bawah Akta 446 juga digubal iaitu Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pekerja Yang Dikehendaki Disediakan Penginapan) 2021, yang mewajibkan majikan untuk menyediakan penginapan bagi semua pekerja asing yang digajikan, kecuali pembantu rumah.
Manakala Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja (Pengkompaunan Kesalahan) 2021 pula, membolehkan semua kesalahan di bawah Akta 446 dikompaun.
Sementara itu, Saravanan berkata, KSM telah membentuk Pasukan Petugas Kebangsaan Pematuhan Penginapan Pekerja, yang dianggotai oleh 10 kementerian serta agensi lain berdasarkan keperluan.
"Kekuatan anggota penguat kuasa turut diperkasa melalui pegawai daripada Jabatan dan Agensi di bawah KSM seperti, Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP), Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya.
Beliau berkata, KSM turut bercadang membuat penurunan kuasa Akta 446 kepada pegawai yang terlibat dalam pasukan kerja dari enam kementerian, yang mana penguatkuasaan ini mengutamakan 75,000 majikan yang menggajikan pekerja asing dengan tumpuan di Selangor, Johor dan Kuala Lumpur, dalam tiga sektor iaitu pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.
"Ia melibatkan satu agensi di bawah KSM, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” katanya.
Kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) pula melibatkan penyediaan senarai penginapan sementara bagi pekerja yang dipindahkan dari penginapan asal yang tidak menepati standard Akta 446.
"Penginapan sementara ini merangkumi penginapan berpusat yang telah diperakukan JTK serta hotel yang berdaftar dengan MOTAC. Pakej penginapan sementara ini akan melibatkan kos sewaan RM200 dan kos utiliti RM20 sebulan bagi setiap pekerja, yang akan ditanggung pemilik penginapan,” jelas beliau.
Mengenai kerjasama bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) beliau berkata, penyelarasan dibuat bagi mendapatkan senarai operator bas, yang akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan bagi pekerja yang dipindahkan dari penempatan asal ke penempatan sementara, serta pengangkutan pergi balik pekerja ke tempat kerja.
Sebagai pelan jangka masa panjang, KSM juga menggalakkan pembinaan penginapan berpusat yang memenuhi syarat dan keperluan Akta 446, dengan mendapat Perakuan Penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja. - Bernama