SEPANG - Polis hari ini merekodkan keterangan pengasas The KL Sky Clinic, Dr Roland Victor berhubung video mengenai vaksin Covid-19 yang tular.
Ketika ditemui pemberita selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini, Dr Victor berkata, polis mengambil keterangannya berhubung kandungan video berdurasi 56 minit yang dimuat naik menerusi laman Facebook The KL Sky Clinic pada 7 Februari lalu.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, video berkenaan berkaitan fungsi dan keberkesanan vaksin serta bagaimana vaksin berfungsi termasuk risiko yang mungkin dihadapi jika mengambilnya.
Katanya, beliau juga bersedia untuk dipanggil semula sekiranya diperlukan selepas memberi keterangan hampir dua jam setengah hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, setakat ini hanya satu laporan polis diterima pihaknya berhubung kandungan video itu dan kes disiasat menurut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Bernama