Rasuah bunuh masyarakat dalam senyap

Iklan
Amalan rasuah perlu dibendung agar generasi akan datang dapat menjalani kehidupan dengan lebih bersih. Gambar kecil: Khairul Nizam

SEREMBAN - Amalan rasuah merupakan ‘pembunuh senyap’ yang bukan sahaja boleh merosakkan masyarakat, malah boleh membinasakan negara.

Presiden Persatuan Briged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery berkata, seperti membunuh, perasuah juga boleh dianggap sebagai perosak negara yang akan menghancurkan masa depan seseorang.

Iklan
Iklan

Katanya, sikap memberi, menerima dan meminta rasuah harus dibendung agar generasi akan datang dapat menjalani kehidupan yang lebih bersih.

"Kita perlu biasakan diri dengan berusaha dan bekerja keras untuk mencapai kejayaan, bukan dengan jalan singkat meminta serta menerima rasuah.

Iklan

"Tidak keterlaluan jika saya anggap rasuah itu sebagai pembunuh kerana ia boleh merosakkan banyak perkara bukan di satu pihak sahaja tetapi banyak pihak akan terlibat sama,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti itu seharusnya diberi hukuman lebih berat dan setimpal untuk dijadikan sebagai pengajaran kepada orang lain.

Iklan

Pada 16 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub melancarkan Gerakan Sinar Rasuah Busters dan kempen Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa membangkitkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia berhubung masalah rasuah.

Kata Khairul Nizam, antara punca berlakunya rasuah adalah disebabkan kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat di samping sikap mementingkan diri sendiri.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, rasuah adalah isu nasional yang harus ditangani seluruh rakyat Malaysia kerana ia adalah barah yang akan menghancurkan potensi negara ini untuk maju pada masa akan datang.

”Sudah tiba masanya untuk seluruh rakyat Malaysia serta suara-suara pertubuhan masyarakat madani ataupun NGO sama-sama mengembleng satu gerakan pendesak yang kuat bagi memastikan usaha reformasi dan penambahbaikan untuk membasmi gejala rasuah ini dapat direalisasikan,” katanya.