"NAK tolong orang susah sebab tak suka tengok orang susah,” kata Muhammad Afizal Nor Afizan, seorang penyumbang cilik yang baru berusia sembilan tahun dari Petaling Jaya.
Pada 24 Disember 2020, Muhammad Afizal yang lebih dikenali sebagai Afi telah memecahkan tabung simpanannya bagi membeli sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Starex untuk dijadikan van jenazah wakaf amal Valley.
Sikap saling membantu dan sukarela sebenarnya perlu dipupuk serta diajar sejak kecil agar mereka menjadi pemimpin yang berguna pada masa hadapan.
Kesukarelawanan bukanlah perkara asing atau baharu kerana ia telah menjadi sebahagian daripada kebiasaan kehidupan masyarakat sejak dahulu lagi.
Hari ini, sikap sukarela dapat dilihat ketika melaksanakan sesuatu kerja yang dilakukan secara bergotong-royong dalam sesebuah komuniti. Malah, ia menjadi rutin masyarakat kini apabila sesuatu kerja itu dilaksanakan secara beramai-ramai dan sukarela.
Dalam kehidupan bermasyarakat, manusia didorong oleh nilai-nilai budaya, ideologi, prinsip dan tradisi serta memberi kesan yang cukup besar dalam kehidupan.
Budaya itu perlu diperkuatkan oleh generasi muda sejak kecil bagi memupuk semangat cintakan negara, saling menghormati dan toleransi dengan elemen kegembiraan, perkongsian serta kasih sayang.
Kita dapat lihat peningkatan pertubuhan badan-badan sukarelawan di Malaysia ibarat ‘cendawan tumbuh selepas hujan’, antaranya Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), sebuah badan yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pendidikan yang berperanan menampilkan pemimpin sukarelawan dalam golongan muda, khususnya mahasiswa.
Pemimpin
Sebelum ini, 1Malaysia for Youth atau lebih dikenali sebagai 1M4U merupakan satu inisiatif kerajaan Malaysia untuk menggalakkan lagi penyertaan belia dalam aktiviti kemasyarakatan di Malaysia.
Mercy Malaysia, Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Rakan Muda dan Yadim Sukarelawan merupakan pertubuhan yang memupuk golongan muda bagi membantu masyarakat yang memerlukan.
Golongan muda sepatutnya mempersiapkan diri, bukan sahaja melalui aktiviti kuliah dan bilik tutorial semata-mata, bahkan juga harus menimba pengalaman melalui aktiviti bersama masyarakat.
Golongan muda perlu dipersiapkan sebagai pemimpin masa hadapan. Mereka perlu kukuh jiwanya, mapan ilmunya dan banyak baktinya.
Mengambil contoh, salah sebuah universiti di Malaysia yang mewajibkan mahasiswa menyertai sekurang-kurangnya sekali dalam program sukarelawan di luar negara sebagai nilai tambah kepada mahasiswa.
Program yang dinamakan Global International Student Outreach (GISO) merupakan modul yang diguna pakai oleh Universiti Sains Islam Malaysia yang mewajibkan mahasiswa mereka melaksanakan satu program sukarelawan pada peringkat antarabangsa.
Program seumpama itu dapat menjadi nilai tambah seperti teknik berkomunikasi, pertukaran idea dan pendapat kepada seseorang sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Menyedari kepentingan aspek kesukarelawan, golongan muda sewajarnya melibatkan diri dalam bidang kesukarelawan kerana ia dapat memberi kesedaran mengenai kepentingan untuk berkhidmat dengan bertanggungjawab terhadap isu-isu sosial dan menyelesaikan masalah ketidakseimbangan yang wujud dalam masyarakat.
Kita boleh menjadikan contoh, pasangan pelakon muda, Ardell Aryana dan Nazmi Adhwa yang banyak menyumbang dengan menjadi sukarelawan bagi membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.
Selain itu, finalis Hero Remaja 2020, Jabir Meftah bersama kelabnya, Youth Care Malaysia juga turun padang membantu mangsa banjir di Segamat, Johor.
Ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19 dan bencana banjir, masyarakat perlulah berganding bahu membantu golongan yang memerlukan.
Ilmu kesukarelawan perlu dibangunkan secara holistik agar golongan muda didedahkan dengan sifat dan falsafah kesukarelawan secara berterusan serta dapat membantu masyarakat dan negara.
* Muhammad Yusainy Mohamad Yunus ialah Wartawan Sinar Harian