ALOR SETAR - Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menafikan wujud audio yang mengaitkan dirinya dengan gerakan yang mahu menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti heboh diperkatakan.
Beliau turut mencabar individu yang menyebarkan fitnah itu supaya mendedahkan audio rakaman yang didakwa perbualan antara dirinya dengan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi yang juga Setiausaha Majlis Syura Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
"Audio apa yang dimaksudkan? Tidak ada audio seperti didakwa, saya nafikan apa yang disebarkan itu.
"Saya percaya ia hanya mainan pihak tertentu untuk melaga-lagakan sesama pemimpin Pas,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Berdasarkan maklumat tular, terdapat audio rakaman Mohd Khairuddin dengan Hashim, mendakwa Mohd Khairuddin tidak berpuas hati dengan Presiden Pas dan diluahkan kepada Hashim,,anakala Hashim pula didakwa seakan bersetuju dengan apa dilaporkan Mohd Khairuddin.
Turut disebarkan, wujud satu gerakan untuk menjatuhkan Abdul Hadi selain Pas kini berpecah kepada dua iaitu kumpulan yang pro UMNO dan satu lagi pro Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Mengulas lanjut, Hashim menegaskan beliau tidak pernah membangkitkan isu kepimpinan Abdul Hadi apatah lagi mempersoalkan tindak-tanduk Ahli Parlimen Marang itu.
"Saya tak pernah cakap seperti didakwa, walau dalam kelas pengajian sekalipun. Saya tiada masalah dengan Abdul Hadi, kalau benar ada audio itu, dedahkan supaya dapat dikenal pasti sama ada ia benar atau palsu,” katanya.
Menurutnya, apa yang disebarkan itu hanya mainan politik pihak luar parti itu yang berhasrat melaga-lagakan pemimpin Pas.
"Sehingga kini semua pemimpin taat pada Abdul Hadi, tiada langsung cubaan untuk singkirkan beliau. Tiada gerakan macam itu dalam parti. Malah tak wujud puak-puak dalam Pas, itu mainan pihak luar,” katanya.
Hashim berkata, apa yang disebarkan itu hanya rekaan semata-mata memandangkan parti itu sentiasa tenang dan damai berbanding parti lain yang dilihat bergolak.
"Mereka iri hati dan rekalah cerita. Pihak luar parti yang cetuskan, dalam politik memang orang suka lagakan pihak lain. Kalau ada perselisihan faham atau saya tak suka mana-mana pemimpin, itu bukan saya putuskan. Kalau saya baik dengan pemimpin mana pun, dia tidak akan dapat pengaruhi saya dalam keputusan parti sebab itu semua diputuskan dalam mesyuarat,” katanya.
Hashim turut tegaskan, pendirian Pas masih kekal dengan dasar yang diputuskan sebelum ini iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN).