Osman mahu Hasni nyatakan pendirian kerjasama parti

Iklan
Osman mahu Hasni berani menyatakan pendirian mengenai kerjasama parti.

JOHOR BAHRU - Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mahu Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berani menyatakan pendirian mengenai kerjasama parti.

Osman berkata, sekarang adalah waktu terbaik untuk Hasni menyatakan pendirian itu sama ada bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau sebaliknya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

Iklan
Iklan

"UMNO Johor dilihat lebih mendiamkan diri. Kita tidak tahu arah tuju dan pendirian mereka jika mereka terus membisu, saya dapat sifatkan sikap mereka ini seperti gunting dalam lipatan.

"Menteri besar sekarang dari UMNO. Pada pandangan saya, UMNO Johor tidak mahu bersuara kerana bimbang kedudukan Menteri Besar tergugat kerana pentadbiran kerajaan negeri sekarang hanya memiliki kelebihan satu kerusi berbanding pembangkang,” katanya.

Iklan

Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam, mengingatkan UMNO Johor mengenai kerjasama dan sokongan yang diberikan bagi pelantikan Menteri Besar baharu dari parti itu selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Febuari tahun lepas.

"Dalam mesyuarat Perikatan Nasional (PN) Johor antara Bersatu dan Pas secara maya pada bulan lepas, kita juga tekankan kedudukan UMNO Johor sama ada dalam Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional.

Iklan

"Hasni kena buat keputusan sejelas mungkin. Adakah berpendirian sama seperti UMNO Selangor dan Perak untuk tidak berkompromi memberi kerusi yang pernah dimenangi mereka sebelum ini kepada Bersatu pada PRU15 nanti,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas.

Bersatu Johor kini mempunyai 12 ADUN, manakala UMNO dan DAP masing-masing 14 ADUN, Amanah 9), PKR (4), MIC (2) dan Pas (1).

Kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) kini mempunyai 29 kerusi sementara Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.

Sinar Harian Ahad lalu melaporkan mengenai prinsip UMNO Perak menerusi Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad yang tidak akan berkompromi dengan Bersatu berhubung kerusi mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Bersatu jangan ganggu tempat UMNO, Pas'