SHAH ALAM- Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mengesahkan sudah mendapat notis Letter of Demand (LOD) daripada peguam Perdana Menteri dan bersedia menghadapi sebarang tuntutan yang diajukan di mahkamah.
Menurut Mohd Puad, beliau menafikan bahawa dirinya memfitnah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sedangkan niatnya hanya mahu bertanya dan meminta penjelasan berhubung perintah kuarantin tiga hari ke atas menteri.
Katanya, keputusan itu dibuat secara tergesa-gesa dan merupakan isu kepentingan awam.
"Sebagai individu yang dijamin kebebasan bersuara, saya tidak akan benarkan diri saya dibuli Muhyiddin seperti mana UMNO dibuli.
"Justeru saya tidak perlu memohon maaf dan tidak perlu memadam posting dalam Facebook saya dan saya memilih untuk ke mahkamah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.
Sebelum ini, Muhyiddin menuntut Mohd Puad memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi RM10 juta kerana didakwa memfitnah beliau dalam hantaran di Facebook minggu lalu.
Dalam surat tuntutan daripada firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership kepada Mohd Puad, perdana menteri tersebut antara lain, menuntut beliau memadam kenyataan bertarikh 9 Februari 2021 mengenai kuarantin dari laman Facebooknya.
Mohd Puad juga diarah membuat permohonan maaf secara terbuka dan disiarkan secara jelas dan segera di laman Facebooknya serta semua portal berita dan media sosial yang menyiarkan kenyataan tersebut selain dituntut membuat aku janji bertulis untuk tidak mengulangi atau menerbitkan kenyataan sama atau seumpama itu dalam apa jua cara sekalipun.
Mengulas lanjut mengenai isu tersebut Mohd Puad berkata, langkah membawa isu berkenaan ke mahkamah dilihatnya sebagai peluang untuk bersama-sama dengan rakyat, bagi membantah"amalan dua darjat” dalam isu perintah kuarantin yang diluluskan Putrajaya sebelum ini.
"Hal ini kerana dalam Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan disebut dengan jelas rakyat berhak mendapat layanan yang adil dan saksama. Maka apakah"kuarantin” 3 hari tidak bertentangan dengan Artikel 8?.
"Pada saya amat jelas tindakan saman ini bertujuan menutup mulut dan menakutkan para pengkritik. Saya tidak berganjak,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Muhyiddin minta Puad mohon maaf, ganti rugi RM10j