GEORGETOWN - Aktiviti sindiket memproses dadah dengan campuran jus minuman segera di sebuah kondominium mewah di Lebuh Sungai Pinang 2, di sini terbongkar selepas penahanan seorang lelaki pada Rabu.
Polis turut menemui sejumlah 2,396 gram dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA), ketamin (338.5 gram), pil ekstasi (576 biji) dan 390 biji pil Eramin 5 yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM77,318.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki berusia 20 tahun ditahan di lobi kondominium berkenaan kira-kira jam 2.40 pagi bersama 15 peket plastik hitam.
Menurutnya, susulan tangkapan itu membawa kepada serbuan di sebuah kediaman di kondominium sama dan menahan teman wanita suspek yang berusia 21 tahun.
"Pemeriksaan di dalam rumah terbabit menemui sejumlah campuran serbu dadah disyaki dadah jenis MDMA sekali gus membongkar sebuah makmal mini memproses bahan terlarang itu di bahagian ruang tamu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini.
Beliau memberitahu, siasatan mendapati dadah tersebut diproses dan dicampur dengan serbuk jus minuman seperti teh ais limau dan teh hijau serta minuman bertenaga pelbagai perisa sebelum diedarkan kepada pelanggan mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini.
Selain itu katanya, polis turut menyita sebuah kereta bernilai RM58,500 dan wang tunai bernilai RM1,100.
"Kita percaya dadah yang dihasilkan dijual kepada pelanggan yang mahu mengadakan parti liar berikutan pusat hiburan masih belum dibuka ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Setiap bungkusan minuman segera yang telah dicampur dengan dadah itu dijual dengan harga RM180 sebungkus dan suspek lelaki yang ditahan berperanan sebagai penghantar menerima upah RM500 hingga RM800 setiap kali penghantaran," katanya.
Dalam pada itu, Soffian berkata, siasatan awal mendapati kondominium mewah berkenaan disewa oleh abang suspek yang berusia 20-an dan kini polis sedang giat mengesannya.
Katanya, kondominium tersebut dijadikan sebagai tempat memproses dadah, membungkus dan menyimpan semua bahan terlarang berkenaan sejak awal Januari lalu.
Katanya, pasangan kekasih yang tidak bekerja itu kini direman selama enam hari untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.