SEREMBAN - Saluran TV Pendidikan (DidikTV) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mula diperkenalkan sejak dua hari lalu diragui keberkesanannya.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan Dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, DidikTV KPM hanya menyediakan satu saluran untuk 13 peringkat pembelajaran bermula Darjah Satu sehingga Tingkatan Enam Atas.
Katanya, KPM sepatutnya menyediakan 13 saluran untuk setiap peringkat pembelajaran iaitu satu saluran khas yang tersendiri.
"Sebagai contoh, Darjah Satu memerlukan satu saluran khas, begitu juga untuk Darjah Dua sehingga Tingkatan Enam Atas.
"Pada permulaan ini, mungkin KPM menghadapi kesukaran untuk menyediakan prasarana bagi 13 saluran serentak namun ia boleh dimulai dengan sekurang-kurangnya lima saluran,"katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau turut mencadangkan saluran TV Pendidikan ketiga untuk sekolah menengah rendah manakala saluran TV Pendidikan kelima khusus untuk pelajar Tingkatan Enam Bawah dan Tingkatan Enam Atas.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan itu, penyediaan awal bagi lima saluran itu hanya untuk tempoh sementara, sebelum semua 13 saluran TV Pendidikan dapat disediakan di semua peringkat pembelajaran di sekolah rendah dan sekolah menengah di negara ini.
Katanya, pentadbiran negara perlu serius untuk menangani permasalahan pendidikan yang sama terjejas teruk seperti sektor ekonomi sejak Covid-19 menular.
"Masalah Covid-19 ini akan berterusan dalam jangka masa yang tidak menentu.
"keadaan ini memerlukan kita bertindak segera dengan persediaan yang sewajarnya," katanya.