PUTATAN - Rundingan berhubung pembahagian kerusi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) sedang dilakukan bersama pucuk pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pengerusi Sekretariat Penyelidikan Jawatankuasa Pilihan Raya UMNO (JUARA) Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata, kajian berhubung kerusi yang ditandingi BN dalam PRU lalu sedang dilakukan ketika ini.
"Kajian masih dilakukan dan perundingan mengenai pembahagian kerusi di peringkat pucuk pimpinan tertinggi masih berlangsung.
"Kenyataan (Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin) berdasarkan apa yang ditandingi pada PRU lepas dan berdasarkan penyelidikan seterusnya," katanya kepada pemberita pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN UMNO Sabah sasar 13 kerusi PRU15: Bung Moktar
Beliau mengulas berhubung kenyataan Bung Moktar bahawa sekurang-kurangnya 14 kerusi akan ditandingi BN dalam PRU15.
Diminta mengulas lanjut berhubung lima daripada 14 kerusi yang disasarkan untuk ditandingi BN telah menjadi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Shahelmey berkata, pucuk pimpinan akan berunding mengenainya.
"Atas semangat setiakawan dalam GRS, pucuk pimpinan akan berunding lagi," kata beliau.
Parlimen Beaufort, Sipitang, Kudat, Beluran dan Libaran sebelum ini adalah milik BN namun ahli Parlimen di kawasan tersebut keluar parti dan menyertai Bersatu.
Pada Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan UMNO Sabah menyasarkan sekurang-kurangnya 10 hingga 13 kerusi Parlimen akan ditandingi pada PRU akan datang.
Bung Moktar dilaporkan berkata, mengikut fakta pada PRU ke-14, UMNO diberikan kerusi untuk bertanding di 14 kerusi Parlimen iaitu Parlimen Kudat, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Beluran, Libaran, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Kalabakan.