PASIR MAS - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan memasang segera kanvas kalis air bagi membendung runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi di sini.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, kerja-kerja pemasangan tersebut akan melibatkan peruntukkan yang berjumlah RM100,000.
"Ia akan melibatkan kawasan seluas 4,360 meter persegi dan panjang 200 meter.
"Langkah pantas itu bertujuan mengekang pergerakan tanah yang lebih serius berlaku di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas turun padang meninjau runtuhan tebing yang berlaku di kawasan tersebut bersama Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha dan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif.
Menurutnya, pemasangan itu juga dijangka akan memudahkan lagi proses kajian yang akan dilaksanakan oleh pasukan forensik bagi mencari jalan penyelesaian konkrit untuk mengatasi masalah tersebut.
Beliau berkata, KASA memberi jaminan kajian itu tidak akan mengambil masa yang lama kerana pihaknya mendapat kerjasama erat daripada kerajaan negeri.
Ahmad Masrizal berkata, KASA sedaya upaya mahu kerja-kerja ini dapat diselesaikan sebelum musim tengkujuh pada November nanti.