PORT DICKSON -"Pelik kenapa pula kereta saya yang jadi mangsa sehingga terfikir adakah saya ada buat salah pada orang lain," kata Muhammad Syahir Shuhaimi, 26, berhubung cermin keretanya yang pecah dibaling batu dalam kejadian pada Khamis, di rumahnya di Taman Dato Haji Abdul Samad di sini.
Kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu disedari bapanya yang keluar rumah untuk ke surau berhampiran bagi menunaikan solat Asar.
Menurutnya, ketika kejadian dia berada di dalam bilik sedang bekerja, namun terdengar bunyi motosikal berhenti disusuli dengan bunyi benda meletup.
"Waktu itu saya buat tak tahu sahaja kerana tidak menjangka ada kejadian buruk berlaku.
"Tiba-tiba ayah datang ke bilik dan beritahu cermin kereta Proton Persona yang dipakir di luar rumah pecah dibaling dengan batu besar. Ayah turut terfikir yang saya ada buat benda salah sehingga menyebabkan orang marah," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dia kemudiannya telah membuat laporan polis dan difahamkan itu bukan kejadian pertama yang berlaku.
Katanya, kejadian sama turut dikongsi oleh individu lain di Facebook dan antara lokasi kawasan perumahan yang didakwa turut berlaku kes seumpama itu adalah di Taman Belida, Taman PD Utama dan Taman Intan Duyung.
"Walaupun rasa sedih kerana perlu menanggung kerugian kira-kira RM1,000 disebabkan kerosakkan yang berlaku, tapi saya sedikit lega bila dapat tahu kes ini turut berlaku di tempat lain.
"Setidaknya saya tahu kejadian itu berangkai dan orang yang membaling batu pada cermin kereta saya ini sengaja berbuat demikian bukan kerana dia marah pada saya. Cuma saya pelik juga kenapa mereka baling batu," katanya.
Justeru, dia berharap pihak polis dapat menangkap pelaku sebelum lebih ramai lagi yang menjadi mangsa.
Sementara itu bapanya, Shuhaimi Zubir, 61, berkata, kejadian seumpama itu pertama kali berlaku sepanjang hidupnya.
"Saya terkilan juga sebab tak keluar rumah tengok apa berlaku bila terdengar bunyi motosikal berhenti. Tapi benda dah jadi, tak boleh buat apa lagi.
"Saya tak rasa pelaku itu sekadar baling batu itu tapi menghentak sekali cermin kereta anak saya apabila melihat keadaan kerosakan berlaku,"katanya.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi Sinar Harian berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.