PENGENDALI Everton, Carlo Ancelotti mengesahkan penyerang The Toffees, Dominic Calvert-Lewin bakal diturunkan pada aksi derby menentang Liverpool di Anfield awal pagi Ahad ini.
Ancelotti berkata, pemain berusia 23 tahun itu telah pulih daripada kecederaaan hamstring yang sekali gus menyaksikan dia tidak beraksi ketika berdepan Fulham dan Manchester City baru-baru ini.
"Pastinya berita kehadirannya menggembirakan kami yang agak ‘bermasalah’ di jentera serangan pasukan ketika ini.
"Oleh itu dengan kembalinya Calvert-Lewin, sudah pasti jentera serangan pasukan akan lebih ‘berfungsi’ khususnya dalam mengatur asakan ke gawang lawan.
"Sekali gus ia menjadikan pemain-pemain lain lebih bersemangat untuk mengasak ke gawang lawan dan seterusnya mencipta dan menjaringkan gol,” katanya.
Untuk rekod, Everton telah tewas tiga daripada lima perlawanan terakhir mereka sebelum ini dan berada pada kedudukan ketujuh dengan 37 mata hasil 11 kemenangan, seri empat kali dan tewas lapan kali daripada 23 perlawanan setakat ini.
Sementara itu Ancelotti berkata, pihaknya juga berkemungkinan akan menurunkan pemain Brazil, Allan yang sudah agak lama tidak beraksi bersama pasukan.
Katanya, Allan yang diketepikan sejak pertengahan Disember akibat masalah kecederaan, diharap mampu untuk mengemudi bahagian tengah.
"Allan juga turut berlatih hari ini (semalam) dan kita berharap agar dia dapat diturunkan pada perlawanan berdepan Liverpool nanti.
"Kami sebenarnya mahu memberikannya peluang menajalani latihan berbanding hanya membiarkannya berada di banguk simpanan sepanjang masa,” katanya.