Timbalan Ketua UMNO bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, mesyuarat itu tidak seharusnya membincangkan status kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semata-mata, sebaliknya MKT perlu membuat pendirian mengenai hala tuju Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, dasar UMNO ketika ini adalah jelas mempertahankan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga PRU15, memperkasakan MN dan paling penting, menolak kerjasama politik dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta DAP.
"Saya berpandangan isu penentuan hala tuju dan dasar terkini UMNO adalah jauh lebih penting daripada soal status kerjasama dengan Bersatu atau tawaran jawatan Perdana Menteri (PM) kepada parti itu.
"UMNO kena bergerak ke hadapan terutama dalam soal kerjasama dalam MN.
"Jika MN dilihat menguntungkan parti, kena cari jalan menjayakannya kerana parti masih dalam keadaan menyokong kerajaan PN diterajui Bersatu.
"Sekiranya isu ini tidak diuruskan dengan baik, saya bimbang ahli-ahli parti akan terus terkeliru sama ada UMNO mahu bergerak sendirian, bergerak dengan kerajaan PN atau bersama pembangkang," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas spekulasi UMNO bakal mengadakan mesyuarat MKT parti itu di Janda Baik, Pahang pada Jumaat bagi memutuskan hala tuju kerjasama dengan Bersatu.
Bagaimanapun, keputusan UMNO mengadakan mesyuarat itu pada saat negara masih lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta larangan rentas negeri serta daerah menimbulkan tanda-tanya.
Sinar Harian dimaklumkan UMNO mahu MKT, sebagai badan kerja tertinggi parti, membuat keputusan ini kerana usul dibawa oleh persidangan perwakilan bahagian yang selesai bersidang tahun lalu tidak dapat dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ekoran perintah darurat.
Menurut Perlembagaan UMNO, jika PAU tidak dapat bersidang untuk membahas dan meluluskan sebarang usul yang diputuskan oleh persidangan perwakilan bahagian maka badan tertinggi yang boleh membuat sebarang keputusan melibatkan hala tuju parti adalah MKT.
Dalam pada itu, Tun Faisal mencadangkan mesyuarat MKT lebih menfokuskan kepada penentuan tarikh pelaksanaan Pemilihan Agung UMNO yang dijadualkan pada tahun ini.
Jelas beliau, sejumlah lebih 3 juta ahli UMNO tidak boleh terus terkeliru dengan hala tuju parti yang tidak jelas selain pendirian kepimpinan parti yang sering tidak konsisten.
"Isu paling penting sekarang menentukan barisan kepimpinan baharu yang akan membawa hala tuju parti dan pendirian yang lebih segar dan jelas.
"Kita juga perlu menghentikan segera sebarang gerakan bertentangan dengan dasar parti yang dibuat segelintir ahli MKT lantikan, termasuk usaha kerjasama dengan pihak pembangkang,"katanya.
Sementara itu, Penasihat UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib meluahkan keyakinan ahli-ahli MKT UMNO akan memikirkan perkara baik dan buruk sebelum membuat keputusan memutuskan kerjasama dengan mana-mana rakan kongsi dalam kerajaan PN.
Beliau berpandangan UMNO perlu memikirkan masa hadapan parti itu dan bersiap-sedia bergerak bersendirian sekiranya perancangan koalisi perdana parti Melayu gagal dimuktamadkan.
"Apapun, perkara-perkara yang akan diputuskan MKT UMNO pada malam ini (Jumaat) adalah satu perkara besar.
"Saya yakin pemimpin-pemimpin berkaitan akan membuat satu keputusan terbaik," katanya.