KUALA TERENGGANU - Penternak atau individu yang berhasrat meneroka kawasan baharu tetapi berisiko dengan 'gangguan' hidupan liar dinasihatkan agar mendapat pandangan terlebih dahulu daripada pihak berkaitan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusuf berkata, langkah utama itu penting bagi memastikan permasalahan dan risiko yang bakal mereka hadapi pada masa akan datang.
Menurutnya, persiapan awal mungkin boleh dilakukan seperti memasang pagar elektrik di sekeliling sebelum membuka kawasan pertanian seperti tanaman kelapa sawit atau mengusahakan ternakan.
"Mereka boleh mengenal pasti permasalahan di lokasi yang dipilih dengan merujuk pihak Perhilitan ataupun bertanyakan kepada pengusaha-pengusaha yang berpengalaman atas risiko gangguan hidupan liar di kawasan tersebut.
"Jadi dengan membuat persiapan awal berkaitan risiko kemusnahan tanaman dan keselamatan ternakan maka kerugian dapat diminimumkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Abdul Malek berkata, baru-baru ini terdapat beberapa insiden gangguan hidupan liar contohnya beruang matahari mengganggu penduduk di Kampung Pengkalan Berangan, Marang dan di Kampung Pinang Merah, Paka, Dungun.
Katanya, selain itu juga, penternak lembu di Kampung Lubuk Periuk, Hulu Terengganu dan di Ladang Felda Kerteh 4, Dungun turut diancam dengan kehadiran harimau yang membaham lembu ternakan mereka.
"Sebelum ini pun, kami juga ada menerima laporan ancaman hidupan liar seperti gajah, kera, babi hutan, beruang dan harimau tetapi kebanyakan aduan adalah di lokasi sama, cuma dikategorikan sama ada serius atau tidak.
"Masyarakat harus sedar bahawa hidupan liar ini akan keluar dari habitat asal disebabkan gangguan ke atas habitat asal dihutan contohnya pembukaan kawasan hutan selain terdapat tarikan sumber makanan di luar kawasan hutan contohnya tanaman pertanian serta haiwan ternakan yang berkeliaran," katanya.